Hazwan lebih lama bersama pasukan berbanding Faiz – Cheng Hoe

KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memberi arahan kepada

KUALA LUMPUR 21 Mac – Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tetap mempertahankan keputusannya menurunkan Hazwan Bakri berbanding menggunakan khidmat pemain lincah Selangor, Faiz Nasir ketika aksi menentang Singapura, semalam.

Jelasnya, tindakan menggantikan pemain sayap Selangor, Syazwan Zainon dengan Hazwan kerana berpendapat penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mampu memberi impak terbaik buat pasukan negara.

Jika membuat perbandingan, Faiz yang berada pada prestasi terbaik adalah pilihan lebih tepat untuk diberikan peluang bermain dalam aksi tersebut berbanding Hazwan yang difahamkan belum diturunkan JDT dalam aksi Liga Malaysia, musim ini.



“Kerana posisi agak berlainan dan saya rasa Faiz Nasir lebih sesuai bermain peranan pemain nombor 10.

“Hazwan dah bersama (pasukan) tahun lepas dan banyak perlawanan (dia bermain), jadi saya rasa di posisi tersebut Hazwan boleh memberi satu impak atau kesan terbaik untuk negara,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan, semalam.

Terdahulu penyerang import Pahang, Dickson Nwakaeme yang bersetuju dengan komen penyokong Malaysia bahawa Faiz Nasir atau Hadin Azman yang sepatutnya masuk menggantikan Syazwan Zainon, bukannya Hazwan Bakri.

“Mungkin jurulatih lebih tahu, tetapi ini pendapat peribadi saya, Faiz Nasir sedang berada pada prestasi yang sangat baik dan sepatutnya dia dimasukkan. Pemilihan pemain sepatutnya berdasarkan prestasi semasa dan bukannya nama, atau populariti.




“Saya mengikuti bola Malaysia dengan cukup rapat dan saya amat bersetuju dengan pandangan bahawa beberapa pemilihan pemain menimbulkan keraguan. Sekali lagi ini cuma pandangan peribadi saya sebagai seorang pemain bolasepak,” kata Dickson yang turut hadir menyaksikan perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu.

Harimau Malaya terpaksa akur dengan Singapura apabila tewas 0-1 dalam aksi pembukaan Piala Air Marine 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Gol tunggal pemain sayap lincah Singapura, Faris Ramli pada minit ke-82 cukup untuk menghukum Malaysia.

Kekalahan itu cukup mengecewakan pemain yang terdahulu turut beraksi dalam keadaan agak sunyi dengan kehadiran hanya 3,000 hingga 4,000 peminat ke stadium yang mampu menampung 90,000 penonton.

Malaysia kini akan menentang Afghanistan dalam penentuan tempat ketiga, Sabtu ini manakala Singapura bertemu Oman untuk merebut kejuaraan.