Harimau Malaya menanti cabaran final Piala AFF Suzuki 2020 dan Piala Asia 2023

Malaysia menamatkan saingan Piala Airmarine di tangga ketiga setelah menewaskan Afghanistan 2-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, petang semalam.



Ia sedikit sebanyak menggembirakan peminat skuad Harimau Malaya selepas aksi longlai sehingga tewas 1-0 kepada Singapura pada peringkat separuh akhir.

Namun begitu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam mengajak peminat bola sepak Malaysia untuk melupakan saingan Piala Airmarine yang telah melabuhkan tirainya dan melihat kepada dua cabaran seterusnya.

Dua cabaran tersebut adalah mara ke final Piala AFF Suzuki 2020 dan layak ke saingan Piala Asia 2023 secara merit. Justeru, Stuart mengharapkan para peminat bersabar kerana perjalanan skuad Harimau Malaya masih lagi jauh tetapi ia berada di landasan yang tepat.

“Kami perlu melihat ke hadapan dan Malaysia memiliki dua lagi kejohanan yang menjadi keutamaan. Sebilangan tonggak utama skuad negara sedang berkhidmat bersama skuad B-23 negara.

“Semua pihak harus bersabar kerana skuad negara masih lagi di landasan yang tepat.” katanya seperti dipetik daripada Stadium Astro.

Kekalahan anak buah Tan Cheng Hoe kepada jiran tetangga pada rabu lalu turut merencatkan peluang Malaysia untuk memintas kedudukan Singapura di kedudukan ranking ke-34 asia.

Harimau Malaya terpaksa menempuh kelayakan pusingan pertama Piala Dunia 2022 yang turut berfungsi sebagai kelayakan Piala Asia 2023.

“Kelayakan pusingan pertama Piala Dunia agak mencabar. Kami akan melihat undian kumpulan yang bakal dilakukan bulan depan dan membuat persiapan menghadapinya,” katanya lagi.