Piala Airmarine: Aksi Faiz Nasir jadi sebutan penyokong tempatan

View image on Twitter

Kali pertama menyarungkan jersi skuad kebangsaan, Faiz Nasir terus mencuri perhatian.

Selepas sekian lama penyokong bolasepak tempatan mahu melihat kelibat pemain berusia 27 tahun itu menyarung jersi Harimau Malaya, akhirnya tercapai jua. Ternyata pemain tengah Selangor ini tidak menghampakan.



Apabila skuad kebangsaan ketinggalan 0-1 kepada Afghanistan dalam perlawanan penentuan tempat ketiga Piala Airmarine 2019, Faiz Nasir bangkit untuk menyelamatkan keadaan. Satu hantaran daripada rakan sepasukannya di pasukan Selangor, Halim Saari, disambut oleh Faiz Nasir yang memotong ke dalam dan melepaskan satu rembatan. Persis jaringannya untuk Terengganu FC dalam perlawanan akhir Piala Malaysia pada musim lalu, rembatan Faiz melepasi jangkauan penjaga gol Afghanistan Ovays Azizi.

Rembatan Faiz Nasir itu benar-benar telah menjadi sebutan penyokong bolasepak Malaysia terutamanya di laman Twitter sehingga namanya menjadi antara ‘trending topic’ selepas dia menjaringkan gol itu.

Faiz Nasir mula menjadi sebutan penyokong tempatan apabila menunjukkan aksi mantap ketika beraksi untuk Terengganu pada musim lalu terutamanya dalam perlawanan akhir Piala Malaysia. Sayangnya, Faiz tidak terpilih untuk beraksi bersama Harimau Malaya di Piala AFF Suzuki 2018.

Faiz kemudian berhijrah ke Selangor dan akhirnya tersenarai untuk beraksi bersama skuad negara dalam kejohanan Piala Airmarine ini. Biarpun tidak diturunkan ketika beraksi menentang Singapura, pastinya Faiz kini telah menarik perhatian Tan Cheng Hoe dengan aksinya menentang Afghanistan.

Mungkin ramai akan memperkatakan mengenai jaringan cantik itu, tetapi Faiz sebenarnya telah menunjukkan aksi hebat sepanjang 90 minit. Kelincahannya benar-benar telah mengucar-ngacirkan pertahanan Afghanistan. Tubuhnya yang kecil membuatkan dia sukar dikawal, tetapi apabila dikawal, Faiz bijak melindungi bola dan membuatkan pemain Afghanistan terpaksa mengasarinya.

Sekarang Faiz Nasir perlu mengulangi aksi hebat ini secara konsisten bersama Selangor. Jika dia berjaya membantu Red Giants sepanjang musim ini, pastinya nama Faiz Nasir akan sentiasa berada dalam senarai pemain Harimau Malaya.