Kami sudah sedia cabar JDT – Baddrol Bakhtiar

Image may contain: 1 person, playing a sport and outdoor

KUALA LUMPUR: Kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar berharap skuad Helang Merah dapat mempertahankan rekod tanpa bolos bermain di tempat sendiri menjelang aksi sengit bertemu juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Darul Aman, Alor Setar Jumaat ini.



Bekas pemain kebangsaan itu bagaimanapun sedar ia bukan satu tugas yang mudah berdepan JDT yang memiliki rekod jaringan cemerlang selepas meledak 16 gol sepanjang enam perlawanan Liga Super pada musim ini.

Sebagai rekod, Kedah mencatatkan kemenangan 4-0 ke atas FELDA United dan seri tanpa jaringan bertemu PKNS FC dalam dua aksi di tempat sendiri setakat ini.

“Sudah pasti aksi bertemu JDT sentiasa memberikan saingan dan saya berharap kami masih berupaya mempertahankan rekod tanpa bolos di (Stadium) Darul Aman nanti.

“Ia sedikit sebanyak memberikan motivasi kepada kami tetapi kami sedar bahawa ia bukan satu tugas yang mudah apabila JDT memiliki rekod jaringan yang lebih baik tetapi kami telah bersedia untuk memberikan cabaran dalam misi merakamkan keputusan positif,” katanya.

Dalam pada itu, Baddrol berharap aksi berdepan skuad Harimau Selatan dapat dijadikan medan kebangkitan Kedah selepas mereka tewas 0-1 kepada Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan 8 Mac lalu.

“Kedah mahu kekal lebih konsisten dan saya akui kecewa apabila kami tewas kepada Pahang pada perlawanan terdahulu dan sudah pasti Kedah mahu mendapatkan tiga mata bertemu JDT.

“Namun harus diingatkan bahawa JDT adalah antara salah satu pasukan terbaik di negara dan seperti saya katakan tadi, ia bukan satu tugas yang mudah tetapi dalam masa yang sama kami tetap berusaha untuk mencapai satu keputusan positif itu nanti,” kata anak jati Sungai Petani itu.

Kedah kini menduduki tangga ketiga Liga Super dengan kutipan 11 mata manakala JDT dan Pahang, masing-masing berada di tangga pertama dan kedua dengan pungutan 16 mata dan 14 mata selepas enam perlawanan setakat ini.

— BERNAMA