Solskjaer bukan pengurus yang bagus – Tommy Smith

LONDON: Pelantikan Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengurus sepenuh masa Manchester United mengejutkan bekas penyerang Cardiff City, Tommy Smith berikutan prestasi buruknya bersama Bluebirds sebelum ini.



Smith antara pemain yang dikendalikan pengurus kelahiran Norway itu secara sementara ketika Cardiff menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tangga tercorot pada 2014 selepas hanya merekodkan tiga kemenangan.

Berikutan kecewa dengan impak yang dibawa Solskjaer selain pemain yang dibawanya ketika itu, Smith mengakui terkejut apabila bekas bosnya itu dianugerahkan salah satu jawatan paling diingini dalam dunia bola sepak.

“Saya tidak dapat merasakan yang dia adalah pengurus yang hebat,” kata Smith. “Tetapi dia adalah lelaki yang baik, dan jelas apabila dia datang ke bilik persalinan di sana, segala-galanya menjadi untuknya.

Image result for Tommy Smith Solskjaer cardiff

“Sebenarnya, saya terkejut apabila mereka mengumumkan dia sebagai pengurus sementara. Berdasarkan apa yang saya lihat di Cardiff, sejujur-jujurnya dia bergelut. Saya tidak fikir ia akan berjaya.

“Saya mungkin salah seorang pengkritiknya yang paling lantang. Dia menerima banyak tekanan di Cardiff. Kami bergelut di tangga tercorot liga dan sentiasa sukar untuk bekerja dalam situasi itu dan juga tekanan.

“Kami mungkin berada di tahap paling rendah berbanding dia bermain dulu. Pembelian pemainnya juga tidak bagus dan kerana itulah mungkin tempohnya bersama kelab berakhir.”

Rekod Solskjaer di United jelas berbeza berbanding ketika di Wales dengan bekas penyerang Red Devils itu mengembalikan semula senyuman dan keyakinan pemain serta peminat dalam kempen domestik dan Eropah. – Agensi