Selangor hanya Faiz bagus yang lain tiada benda – Irfan

KUALA LUMPUR 30 Mac – Pengendali Terengganu FC, Irfan Bakti Abu Salim menaikkan kemarahan penyokong Red Giants apabila memberitahu, Selangor tidak sehebat mana dan satu-satunya pemain yang menonjol ketika pasukan itu menang 1-0 dalam aksi Liga Super semalam adalah bekas pemain mereka, Faiz Nasir.



Sejurus tamat perlawanan, Irfan yang pernah membimbing Selangor dari 2012 hingga 2013 memberitahu media, beliau tidaklah terlalu teruja melihat persembahan lawan mereka yang disifatkan menunjukkan aksi ‘biasa-biasa’.

“Barisan depan Selangor hanya Faiz (bagus) yang lain tiada benda.

“Faiz bekas pemain Terengganu (beraksi baik) yang lain biasa, seperti No. 9 (Sandro da Silva) dan 14 (Endrick dos Santos) out (biasa sahaja).

“Kita banyak peluang tetapi gagal jaringkan gol. Saya sangat kecewa terutama dengan Tchetche (Kipre) yang masih gagal jaringkan gol,” katanya.

Dalam aksi itu, jaringan tunggal Faiz pada minit ke-56 sudah cukup buat Red Giants melakar kemenangan kedua berturut-turut dan lebih manis mengakhiri badi tanpa menang di stadium keramat itu.

Sementara itu, selepas mengharungi tujuh perlawanan Liga Super tanpa menjaringkan gol, masa depan penyerang import Terengganu, Tchetche Kipre semakin kelam dengan Irfan memberi bayangan sedia menggugurkannya apabila jendela perpindahan kedua dibuka.

Berbaki empat lagi perlawanan bagi pusingan kedua, penyerang kedua terbaik liga musim lalu dari Ivory Coast itu perlu membuktikan ketajaman dia atau boleh melupakan untuk terus bermain bersama pasukan Pantai Timur berkenaan.

“Kami cipta peluang tetapi tidak menjaringkan gol, peluang 100 peratus sepatutnya hadir menerusi Tchetche tapi dia gagal menyudahkan.

“Sehingga sekarang dia belum jaringkan gol dan saya sangat-sangat kecewa kerana sebagai penyerang tugasnya adalah meledak gol.

“Ada empat perlawanan lagi untuk pusingan pertama kita masih beri peluang kepada dia, saya akan mesyuarat dengan pihak pengurusan apa tindakan akan dibuat, kita juga tidak boleh tunggu lama-lama sangat,” katanya.