Kelab penyokong puji langkah MFL perkenal kuota tiket

Image result for tiket final shah alam

KUALA LUMPUR 1 Mac- Kelab-kelab penyokong bola sepak tempatan memuji pendekatan Liga Bola Sepak Malaysia(MFL) yang mengambil langkah positif memperkenalkan kouta tiket bagi penyokong pasukan pelawat bertandang ke gelanggang lawan untuk aksi Liga Malaysia berkuatkuasa semalam.

Menurut wakil penyokong bola sepak Pahang merangkap Pengerusi Laksamana Tok Gajah, Mohd Jusri Abd Kadir, beliau menyambut baik peraturan baharu yang diperkenalkan oleh MFL itu bukan sahaja memeriahkan lagi industri bola sepak tempatan sebaliknya turut memberikan jaminan kepada penyokong pasukan pelawat hadir ke stadium pasukan lawan.



Jelas Jusri yang lebih mesra disapa ‘Abang Joe’, berterima kasih kepada MFL yang telah menunjukkan tanda serius terhadap sokongan penyokong pasukan pelawat sekali gus percaya orang ramai khususnya penyokong-penyokong fanatik dapat mengikuti dan memberikan sokongan pasukan kesayangan ketika berkunjung ke gelanggang pasukan lawan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada MFL di mana sebenarnya perkara ini hangat dibincangkan di laman sosial. Ternyata MFL memandang serius dalam hal ini dan saya optimis ia menjadi satu perkhabaran cukup gembira khusus buat penyokong-penyokong bola sepak tempatan.

“Sebelum ini jaminan (kouta) penyokong pasukan pelawat bergantung kepada budi bicara pasukan tuan rumah tetapi selepas MFL mengumumkan peraturan baharu ini, saya yakin lebih ramai akan bersedia untuk turun ke stadium pasukan pelawat,” katanya.

Terdahulu mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL pada 15 Mac 2019 membenarkan kenaikan maksimum 20 peratus daripada harga tiket asal penyokong pelawat selepas MFL menetapkan peraturan kepada pasukan tuan rumah untuk memperuntukkan sejumlah tiket minimum kepada penyokong pasukan pelawat.

Sebelum ini tiada kawalan harga tiket buat penyokong pasukan pelawat serta jumlah peruntukan tiket kepada pasukan pelawat juga hanya berdasarkan budi bicara pasukan tuan rumah.

Berdasarkan peraturan itu, pasukan tuan rumah wajib memperuntukkan minimum 300 keping tiket bagi stadium dengan kapasiti di bawah 20,000 tempat duduk, peruntukan minimum 500 keping tiket bagi stadium dengan kapasiti antara 20,000 sehingga 40,000 tempat duduk dan peruntukan minimum 1,000 keping tiket bagi stadium dengan kapasiti lebih dari 40,000 tempat duduk.

Bagaimanapun kenaikan harga tiket maksimum 20 peratus itu untuk menampung kos tambahan terutama kawalan keselamatan penyokong pelawat tertakluk kepada pasukan masing-masing sama ada mahu melaksanakan atau mengekalkan harga asal.

Sementara itu, Setiausaha kelab penyokong bola sepak Perak, Kelab Seladang, Ahmad Razmi Kamaruddin turut senada dengan ‘Abang Joe’ mengakui peraturan yang diperkenalkan oleh MFL itu sebagai satu usaha murni bagi memastikan kemeriahan bola sepak tempatan berada di tahap lebih positif.

“Jaminan ini adalah satu perkhabaran gembira buat penyokong bola sepak. Bagi penyokong pasukan pelawat, ia menjadi satu kelegaan apabila kamu dapat turun ke stadium tanpa sebarang rasa was-was,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Presiden Anak Selangor Fan Club (ASFC), Mohd.Faizal Wahid memberitahu mereka semakin bersemangat untuk turun ke setiap venue pasukan lawan selepas MFL memperkenalkan peraturan mewajibkan kouta kepada penyokong pasukan pelawat.

“Sebelum ini kami di ASFC hadapi kesukaran di beberapa venue kerana tiada peruntukan tiket khas kepada penyokong lawan dan ada kalanya tidak dapat saksikan perlawanan kerana tiada tiket,” katanya.- UTUSAN