Kenapa pemain tempatan perlu risau dengan pemain naturalisasi?

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Hamidin Mohd Amin menepis tanggapan bahawa pemain-pemain tempatan khususnya pemain muda akan kehilangan tempat di dalam skuad kebangsaan berikutan cadangan pengambilan lebih ramai pemain naturalisasi selepas ini.

Menurutnya, kebimbangan bahawa peluang mereka akan terjejas sepatutnya tidak timbul kerana FAM hanya akan merekrut beberapa pemain sahaja dan ianya akan dilakukan secara teliti mengikut prosedur ditetapkan agar hanya yang benar-benar berkualiti diberi ‘penghormatan’ menyarung jersi Harimau Malaya.



“Kita ada kumpulan kajian teknikal yang akan mengkaji dan memastikan pengambilan pemain asing benar benar mendatangkan impak positif kepada negara bukan sahaja untuk jangka pendek tetapi juga untuk jangka panjang.

“Sama ada ambil seorang atau dua tiga pemain naturalisasi itu bergantung kepada kumpulan kajian teknikal kita. Kita mengikut peraturan. Sekiranya kita mengambil lima pemain naturalisasi, apakah akan menjejaskan pemain tempatan? Rasanya tidak,” kata Hamidin.

Hamidin bercakap kepada pemberita pada sidang media selepas melakukan lawatan bersama Exco FAM ke Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang pada Selasa.

Pada Ahad lalu, pelan pengambilan pemain naturalisasi merupakan antara perkara utama yang dibincangkan dalam Mesyuarat Exco FAM di Pulau Pinang, dengan nama pemain Melaka United Liridon Krasniqi, penyerang UKM FC Michael Ijezie Chukwubunna dan penyerang Kuala Lumpur Guilherme De Paula antara yang dicadangkan untuk direkrut ke dalam skuad.

Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi bagaimanapun menjelaskan, cadangan itu bukan bermakna mereka akan terus menyarung jersi pasukan kebangsaan secara automatik.

“Kita melihat pemain berpotensi namun kita juga mengambil kira faktor lain khususnya prestasi yang menjadi kriteria utama untuk kita ambil sebagai pemain naturalisasi.

“Kita akan sentiasa memantau prestasi mereka. Langkah selepas ini adalah kita akan meminta pengurusan mereka mengemukakan dokumen berkaitan bagi permohonan menjadi kerakyatan.

“Ini kerana tempoh lima tahun minima untuk seseorang pemain dibenarkan mewakili negara lain adalah peraturan di bawah Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), mereka (pemain) masih perlu mengemukakan permohonan menjadi rakyat Malaysia terlebih dulu sebelum boleh bermain,” katanya.

Sebagai rekod, skuad Harimau Malaya ketika ini diperkuatkan seorang pemain naturalisasi iaitu Mohamadou Sumareh yang mendapat taraf kerakyatan Malaysia pada April 2018 dan membuat penampilan pertama bersama Harimau Malaya pada bulan Oktober 2018, ketika Malaysia menentang Sri Lanka.