Pochettino mengakui Spurs bergelut dengan prestasi

Image result for Pochettino

LONDON 1 April – Kemerosotan prestasi yang dialami Tottenham, dikhuatiri akan menjejaskan penantian panjang kelab itu untuk beraksi dalam stadium baharu tanpa perlawanan Liga Juara-Juara pada musim depan.

Skuad bimbingan Mauricio Pochettino itu memberikan cabaran sengit kepada Liverpool dan Manchester City hampir separuh musim dan menyaksikan mereka berjaya mendaki ke tangga kedua Liga Perdana Inggeris pada 2 Februari lalu.



Namun, mereka kini keciciran 16 mata di belakang City dan 18 mata berbanding Liverpool, manakala dengan Manchester United, Arsenal dan Chelsea kelab itu hanya dipisahkan satu mata dalam persaingan bagi merebut slot ke kelayakan Liga Juara-Juara.

“Memang agak malang kami tidak berada di sana untuk sama-sama berjuang. Kami pernah mempamerkan semangat juang yang tinggi, tetapi tidak dalam tempoh beberapa minggu ini. Kami mula menyedari hakikat sebenar di mana tempat kami berada,” kata Pochettino selepas Tottenham ditimpa kekalahan di Liverpool, semalam.

Meskipun mereka mencatat keputusan buruk sejak kebelakangan ini, Spurs di bawah Pochettino mempamerkan persembahan di luar kemampuan sebenar mereka, setelah kelab itu tidak melakukan sebarang pembelian pemain baharu dalam tempoh 15 bulan, tetapi masih mampu bersaing dengan pasukan yang berada dalam kelompok enam terbaik.

Sebab itu, Pochettino memuji para pemainnya dan menganggap mereka sebagai wira kerana berupaya memenuhi tuntutan yang cukup tinggi daripada skuad.

Anak-anak buah Pochettino bukan sahaja perlu berdepan impak akibat keletihan lapan pemain mereka yang beraksi pada separuh akhir Piala Dunia, malah, pasukan itu turut terpaksa bermain di Wembley sementara menanti stadium baharu siap dibina.

“Apabila seseorang mahu memberikan pendapat tentang pasukan, anda perlu melatakkan kami dalam keadaan tertentu. Bukan hanya mengadili Tottenham hanya kerana anda hanya melihat kedudukan mereka dalam carta liga.

“Selepas hampir dua tahun bermain di Wembley. Berpindah dari stadium ke stadium lain, saya rasa para pemain saya adalah wira dan berhak diberi pujian,” tambah Pochettino.

Spurs bakal beraksi buat kali pertama dalam stadium baharu mereka yang memiliki 62,000 tempat duduk pada perlawanan menentang Crystal Palace, Khamis ini. – AFP