Belgium kekal kedudukan No. 1 dunia

BINTANG Chelsea, Eden Hazard menjadi tonggak kepada skuad kebangsaan

PARIS 4 April – Belgium pertahan kedudukan teratas dalam senarai terbaharu ranking bola sepak dunia yang dikeluarkan FIFA, hari ini, sementara England melonjak ke tangga keempat dunia mengetepikan pasukan finalis Piala Dunia, Croatia.



Kedudukan dalam kelompok tiga teratas masih tidak berubah dengan pemenang Piala Dunia, Perancis berada di tangga kedua di depan Brazil yang menghuni tempat ketiga.

England melonjak satu anak tangga setelah mempamerkan aksi meyakinkan dalam kelayakan Euro 2020 apabila meraih kemenangan ke atas Republik Czech dan Montenegro, bulan lalu, manakala Croatia, yang mara ke perlawanan akhir Piala Dunia 2018 sebelum tumpas kepada Perancis, jatuh satu anak tangga ke kedudukan kelima.

Jerman pula, yang berusaha untuk bangkit setelah tersingkir daripada Piala Dunia 2018 selepas saingan peringkat kumpulan, naik tiga anak tangga. Mereka melonjak ke tangga ke-13 selepas melakar kemenangan ke atas Belanda dalam kelayakan Euro, bulan lalu.

Austria pula jatuh 11 anak tangga, kemerosotan terbesar dalam ranking FIFA, selepas tewas dalam kelayakan Euro kepada Poland dan Israel, Mac lepas. –

Malaysia pula turun satu anak tangga di kedudukan 168.

RANKING FIFA:

1. Belgium

2. Perancis

3. Brazil

4. England (+1)

5. Croatia (-1)

6. Uruguay (+1)

7. Portugal (-1)

8. Switzerland

9. Sepanyol

10. Denmark

13. Jerman (+3)

16. Belanda (-2)

33. Austria (-11)