PKNS sedia kejutkan JDT, Perak waspada

Image result for Md Adi Harmizi Ariffin

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PKNS FC, Md Adi Harmizi Ariffin mengakui pertembungan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada pusingan ketiga Piala FA boleh diibaratkan seperti ulangan final 2016.

Tiga tahun lalu, hajat PKNS untuk merangkul kejuaraan Piala FA buat kali pertama tidak kesampaian selepas tewas 1-2 kepada skuad Harimau Selatan itu pada aksi final di Stadium Shah Alam.



Pasukan kendalian Datuk K Rajagobal itu yang melepasi pusingan kedua Piala FA dengan menewaskan Melaka United 3-2, semalam sekali lagi berdepan tugas sukar apabila diundi bertemu JDT yang menjadi antara salah satu pasukan pilihan untuk menjuarai Piala FA.

Adi bagaimanapun menjelaskan PKNS tetap bersedia untuk melakarkan kejutan ke atas juara lima kali Liga Super itu biarpun pada masa yang sama menyedari ia bukan satu tugas mudah untuk beraksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

“Sudah pastinya kami tampil sebagai pasukan bukan pilihan. Namun, kami akan memberikan yang terbaik dan cuba sedaya upaya.

“Siapa tahu kami mungkin boleh melakarkan kejutan sebab dengan barisan pemain yang kami ada pada tahun ini, kami yakin PKNS boleh mencipta satu kejutan pada pusingan ketiga Piala FA walaupun kami bermain di Larkin,” katanya.

Sementara itu, kapten Perak, Shahrul Saad menggesa rakan sepasukannya tidak memandang mudah terhadap cabaran wakil Liga M4, Jerantut FA selepas kedua-dua pasukan itu akan bertarung di pusingan ketiga Piala FA.

Dia menegaskan tidak rela sasaran The Bos Gaurus untuk menjadi juara kali pertama sejak 2004 hanya tersekat di pusingan ketiga.

“Atas kertas mungkin kita boleh nampak Jerantut FA bermain di liga bawahan (Liga M4) tetapi saya fikir mereka mungkin sudah bersedia selepas melalui beberapa perlawanan dalam Piala FA.

“Saya sendiri semestinya mahu menjulang Piala FA dan menjadi juara adalah sasaran Perak pada musim ini,” katanya.