FAM dan JFA jalin kerjasama

Image may contain: 4 people, people smiling, people standing and indoor

Bolasepak Malaysia nampaknya bakal mendapat tunjuk ajar gergasi bolasepak Asia, Jepun.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MOU) bertujuan mewujudkan rangka kerja bagi mengukuhkan kerjasama teknikal dan belia serta menggalakkan pertukaran pengetahuan dalam pendidikan kejurulatihan dan pentadbiran.



MoU itu membuka ruang pembangunan demi kepentingan bersama, termasuk kem latihan skuad kebangsaan, pendidikan kejurulatihan, pembangunan pengadil, pembangunan teknikal dan belia, bola sepak wanita dan futsal serta pertukaran pentadbiran berkaitan pengkomersialan dan penjanaan pendapatan.

MoU itu ditandatangani oleh Presiden FAM Dato’ Haji Hamidin dan rakan sejawatannya dari JFA, Kohzo Tashima, sehari menjelang Kongres AFC ke-69 di Kuala Lumpur.

Majlis menandatangani MOU ini dilakukan selepas delegasi pemimpin bolasepak yang diketuai oleh Presiden FIFA, Gianni Infantino mengadakan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad.

Infantino diiringi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Haji Hamidin bin Haji Mohd Amin, Presiden Persatuan Bolasepak Jepun (JFA), Kohzo Tashima dan Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor John, di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.

“Bagi pihak FAM, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tun Dr Mahathir kerana memberikan kami peluang berkongsi pandangan dengan beliau. Kami yakin sebagai pemimpin yang memulakan Dasar Pandang Ke Timur, Tun Dr Mahathir menyokong projek ini.

“Dengan kejayaan layak ke Piala Dunia FIFA secara berturut-turut sejak 1998 dan muncul juara Piala Dunia Wanita FIFA, Jepun pasti menawarkan peluang yang tidak terbatas untuk kita belajar,” kata Hamidin dalam kenyataanya.

Bagi Presiden JFA, Kohzo Tashima pula, dia merasakan MOU ini akan mengeratkan lagi persahabatan di antara Malaysia dan Jepun melalui bolasepak.

“JFA sentiasa percaya dalam mengukuhkan kerjasama dengan rakan persatuan negara Asia. MoU ini membuka lagi peluang dalam menyediakan platform pembangunan yang memperkasakan dan mengukuhkan lagi jalinan persahabatan yang sememangnya sudah wujud di antara FAM dan JFA.

“Menandatangani MoU ini selepas kunjungan hormat kepada Yang Amat Berhormat Tun Dr Mahathir adalah satu tanda sokongan hebat daripada Kerajaan Malaysia, sekali gus membuktikan kesungguhan Kerajaan Malaysia menjadikan bola sepak sebagai agenda negara.”