JDT bidas FAM kerana pilih pengadil kelahiran Johor

Kelab Bolasepak Johor Darul Takzim (JDT) meluahkan rasa kesal terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di atas pemilihan Fitri Maskon yang merupakan pengadil kelahiran Johor untuk mengadili perlawanan di antara pasukan itu dan Felda United di Stadium Larkin pada Jumaat.



Menurut Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards, pemilihan pengadil yang mempunyai kaitan dengan salah satu pasukan yang beraksi, baik ianya tuan rumah mahupun pasukan pelawat sepatutnya tidak berlaku dan menganggap ia sebagai tindakan tidak professional oleh FAM.

“Jikalau betul apa yang diperkatakan (Fitri berasal dari Johor), maka FAM perlu bertanggungjawab atas kelemahan tersebut. Kami kesal dengan prosedur FAM dalam pemilihan pengadil dan ia perlu diubah. Ia tidak kelihatan bagus ataupun professional pada pihak FAM. FAM perlu ada sikap lebih bertanggungjawab bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang lagi,” kata Alistair.

Pada ketika pemilihan pengadil berusia 31 tahun itu sendiri sudah cukup mencetus kontroversi serta menjadi bualan hangat dalam kalangan penyokong bolasepak tempatan, ia diburukkan lagi dengan beberapa keputusan oleh pengadil itu yang menjadi pertikaian, termasuklah layangan tiga kad merah kepada pemain Felda United.

Alistair bagaimanapun mempertahankan keputusan Fitri itu dan menganggap layangan kad merah kepada Zahril Azri, Thiago Junior dan Hadin Azman bukan satu kesilapan.

“Terdapat banyak komen mengenai pengadilan, terutamanya mengenai tiga kad merah kepada pemain Felda. Adakah ini menjadi isu hanya disebabkan kerana lawan mereka adalah JDT. Saya mempersoalkan ini kerana ketiga tiga kad merah tersebut adalah kesalahan kad kuning kedua selepas pemain pemain itu melakukan kesalahan yang sewajarnya dikenakan hukuman.

“Jikalau anda mengatakan pengadil itu berat sebelah, maka adakah anda juga mengatakan bahawa seorang pemain boleh mengasari lawan daripada belakang, membuang masa perlawanan dan menolak pegawai perlawanan?,” soalnya.

Selain insiden kad merah tersebut, Fitri juga memberi hampir sepuluh minit masa kecederaan, yang mana menyaksikan Harimau Selatan menjaringkan dua gol dalam tempoh tersebut menerusi Akhyar Rashid dan Diogo Luis Santo untuk mengesahkan kemenangan 3-1.

Kemenangan keenam buat skuad Benjamin Mora itu menyaksikan mereka mengumpul 20 mata selepas lapan perlawanan manakala bagi Felda United, ia adalah kekalahan keempat mereka musim ini. – foxsport