Perlawanan ini boleh buat seorang jurulatih sakit jantung – B. Sathianathan

Image result for Melaka 3-4 Selangor

Perlawanan di antara Melaka United menentang Selangor malam tadi mungkin adalah perlawanan paling dramatik pada musim ini.



Dalam perlawanan itu Selangor berjaya mendahului 2-1 di separuh masa pertama. Melaka United bangkit kembali untuk mendahului 3-2 di separuh masa kedua. Tetapi, di saat penyokong Melaka merasakan mereka akan mengutip tiga mata, kemasukan pemain gantian Selangor, Sean Selvaraj meranapkan impian mereka apabila membantu Selangor menang 4-3.

“Dramatik. Tetapi untuk seorang jurulatih, boleh menyebabkan sakit jantung. Kita mula dengan baik pada separuh masa pertama dan mempunyai banyak peluang. Melaka hanya ada long ball kepada Cassagrande dan itu menyebabkan kami longlai sedikit, tetapi separuh masa pertama kami serang dan mendahului 2-1. Tetapi di separuh masa kedua dengan perubahan taktikal Melaka United, pertahanan kami menjadi kucar-kacir. Mereka dapat menjaringkan tiga gol dan kami perlu kaji supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama selepas ini,” kata ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan selepas perlawanan.

Sathia juga turut memuji Sean Selvaraj yang memberikan impak positif sehingga membantu Red Giants pulang dengan tiga mata.

“Kami tau Sean pemain yang bagus, tetapi kurang pengalaman dan selalu bermain sebagai pemain gantian kerana kami mempunyai Rufino dan pemain-pemain lain. Tetapi kelebihan Sean adalah apabila dia masuk, dia mempunyai kelajuan dan tenaga yang lebih maka dia bagaikan ‘Supersub’.

Dia menjaringkan banyak gol dalam perlawanan persahabatan kami sebelum ini, tetapi kami juga mempunyai banyak pemain lain beraksi di posisinya. Ini yang saya katakan apa yang penting bukan sekadar 11 pemain sahaja, tetapi satu pasukan. Kami ada pemain yang boleh dimasukkan dan memberi kelebihan kepada kami, dan Sean telah melakukannya dengan baik dalam perlawanan ini.”

Selepas melalui permulaan musim yang mengecewakan, Selangor kini berada di tangga keempat liga dengan kutipan 12 mata setakat ini. Selangor akan menerima kunjungan Perak di Stadium Shah Alam pada 12 April nanti.