Choupo-Moting buat PSG gigit jari

PARIS: Paris Saint-Germain (PSG) mensia-siakan peluang untuk menjulang gelaran Ligue 1 lebih awal apabila diikat 2-2 oleh Strasbourg di gelanggang sendiri, awal pagi tadi.

PSG boleh mengesahkan gelaran liga elit Perancis itu buat kali keenam selepas pasukan tangga kedua, Lille terikat 1-1 di Reims pada aksi lebih awal.

Begitupun, skuad kendalian Thomas Tuchel itu gagal melaksanakannya selepas membazirkan beberapa peluang terhidang termasuk oleh Eric Maxim Choupo-Moting di garisan gol.



Jika kemenangan diraih di Parc des Princes, PSG bukan saja mengekalkan gelaran liga berbaki lapan perlawanan, tetapi menyamai rekod menjulang kejuaraan terpantas pada 2016 ketika di bawah kendalian Laurent Blanc.

Choupo-Moting meletakkan tuan rumah mendahului di awal permainan yang juga gol ketiganya di Ligue 1 sebelum melakukan kesilapan apabila gagal meletakkan bola hantaran Christopher Nkunku ke dalam gawang lebih teruk dia menahannya di garisan gol.

“Saya berfikir adakah saya ofsaid dan ia berlaku dengan amat pantas. Saya menyentuh bola itu, ia mengenai palang dan amat memalukan kerana bola itu sepatutnya masuk,” kata Choupo-Moting. “Saya minta maaf.”

Penjaga gawang Starasbourg, Matz Sels (tengah) berjaya menyelamatkan golnya dari dibolosi penyerang PSG, Kylian Mbappe (kanan) pada perlawanan Ligue 1, awal pagi tadi. – Foto AFP
Masih segar selepas memenangi Piala Perancis minggu lalu, Strasbourg menyamakan kedudukan menerusi Nuno Da Costa sebelum mendahului 2-1 pada minit ke-38 berpunca jaringan jarak jauh Anthony Goncalves.

Begitupun, kedudukan itu kembali disamakan pemain gantian, Thilo Kehrer berpunca daripada sepakan sudut Julian Draxler ketika permainan berbaki lapan minit.

Pemain kelahiran Cameroon, Choupo-Moting disenarai dalam kesebelasan utama selepas Klyian Mbappe direhatkan di bangku simpanan dengan Neymar, Angel Di Maria dan Edinson Cavani kesemuanya tidak cergas susulan kecederaan.

“Dia pemain gantian yang menakjubkan untuk kami ada tetapi jika kamu sudah banyak kali disenarai dalam kesebelasan utama PSG, kamu perlu mempunyai keyakinan dan itulah kekurangannya,” kata Tuchel mengenai Choupo-Moting.

“Dia amat tidak bernasib baik kerana permulaannya bagus dan apabila dia menghentikan bola itu di garisan, ia sepatutnya meletakkan kami di depan 2-1. Saya tidak tahu mengapa dia melakukannya. Di England ia adalah undang-undang Murphy.” – AFP