9 pasukan Liga Super tanpa ketua jurulatih untuk dua perlawanan

Sembilan buah pasukan Liga Super Malaysia hilang khidmat ketua jurulatih mereka pada perlawanan Liga Super ke-9 (LS9) pada hujung minggu ini dan perlawanan pusingan ke-3 Shopee Piala FA yang akan berlangsung pada pertengahan minggu hadapan.



Hal ini kerana sembilan orang ketua jurulatih daripada sembilan pasukan tersebut sedang menyertai Kursus Kejurulatihan Diploma Professional AFC 2019-2020 yang dijadualkan sehingga 17 April, di Hotel Armada, Petaling Jaya.

Ia merupakan lesen tertinggi dalam kerjaya jurulatih bola sepak dan hanya terbuka kepada jurulatih yang mempunyai lesen “A” AFC selama dua tahun dan berpengalaman mengendalikan kelab professional dalam Liga Malaysia atau skuad kebangsaan.

Sembilan orang jurulatih Liga Super Malaysia yang terlibat dalam kursus ini ialah Benjamin Mora (JDT), Dollah Salleh (Pahang), K. Devan (Petaling Jaya City), Mehmet Durakovic (Perak), Zainal Abidin Hassan (Melaka United), Nidzam Jamil (FELDA United), Irfan Bakti (Terengganu FC), Abu Bakar Fadzim (PKNP FC) dan Aidil Shahrin Sahak (Kedah).

Ini bermakna, hanya pasukan Selangor, PKNS FC dan Kuala Lumpur sahaja yang akan dikendalikan oleh ketua jurulatih mereka seperti biasa pada aksi ke-9 Liga Super, hujung minggu ini. Dan baki sembilan pasukan lain akan dibimbing oleh penolong jurulatih kelab atau pasukan masing-masing.

Manakala, bagi aksi pusingan ke-3 Shopee Piala FA yang dijadualkan pada 16 dan 17 April kelak, Felda United, Terengganu FC, Kedah, PJ City FC, Pahang, PKNP FC, JDT dan Perak turut menentang lawan masing-masing tanpa kelibat ketua jurulatih masing-masing di tepi padang.

Selain daripada 9 orang jurulatih tersebut, seramai 17 orang lagi jurulatih daripada pelbagai pasukan turut mengikuti kursus selama 10 hari ini. Mengikut makluman daripada pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), kursus ini dikendalikan oleh instruktur UEFA dari Denmark, Flemming Mark Serritslev yang merupakan bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Denmark, pengarah teknikal bagi Persatuan Bolasepak Denmark dan bekas pengarah teknikal untuk Liga Profesional Iran.