Hamidin letak jawatan Naib Presiden AFF

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin membuat keputusan untuk melepaskan jawatannya sebagai Naib Presiden Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) yang dimenangi tanpa bertanding pada Kongres AFF di Kemboja, bulan lalu.

Menerusi satu kenyataan hari ini, keputusan itu diambil Hamidin untuk memberi tumpuan atas tanggungjawabnya selepas dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi penggal 2019-2023, Sabtu lalu.



“Atas dasar menghormati semangat perpaduan dalam kalangan ahli gabungan AFF, saya dengan ini memutuskan untuk melepaskan jawatan sebagai Naib Presiden AFF berkuatkuasa serta merta.

“Susulan perbincangan dengan Presiden AFC, Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa dan Presiden AFF, Mejar Jeneral Khiev Sameth, keputusan diambil ini bukan sahaja membolehkan saya lebih fokus pada tanggungjawab saya sebagai Exco AFC malah ia membuka laluan kepada rakan-rakan negara jiran menyumbang tenaga sebagai Naib Presiden AFF,” kata Hamidin.

Dalam Kongres AFF di Siem Reap pada 17 Mac lalu, Hamidin bersama Datuk Seri Zaw Zaw dari Myanmar dan Datuk Seri Francisco Kalbuadi Lay dari Timor Leste memenangi kerusi sebagai tiga Naib Presiden AFF tanpa bertanding.

Presiden AFF yang baru dipilih adalah Mejar Jeneral Samet yang menggantikan Sultan Ahmad Shah selepas baginda menolak pencalonan kerana gering.

Sameth memenangi jawatan presiden tanpa bertanding berikutan penarikan diri Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

Pada Kongres AFC yang berlangsung di Kuala Lumpur, Sabtu lalu, Hamidin terpilih sebagai Exco AFC dan menjadi tiga anggota antara zon ASEAN yang dipilih bagi jawatan terbabit.

Dua lagi individu yang turut dipilih adalah Chris Nikou dari Persekutuan Bolasepak Australia (FFA) dan Dr Tran Quoc Tuan dari Persekutuan Bolasepak Vietnam (VFF) untuk mengisi tiga slot bagi zon berkenaan.

Mereka menang tanpa bertanding selepas calon dari Singapura, Winston Lee, menarik diri pada saat akhir.