VIDEO Benam Porto, Liverpool raih bekalan terbaik

NABY KEITA (kanan) dan Roberto Firmino memastikan Liverpool menumpaskan

Jordan Henderson memuji kepentingan kemenangan bersih Liverpool dalam perlawanan suku akhir pertama Liga Juara-Juara (UCL) selepas membenam Porto, awal pagi tadi.



Pasukan bimbingan Jurgen Klopp gagal menjelmakan aksi terbaik ketika menentang juara Portugal itu tetapi masih meraihkan keputusan yang meletakkan sebelah kaki di peringkat separuh akhir untuk musim kedua berturut-turut.

Gol kedua Naby Keita dalam tempoh kurang seminggu membolehkan The Reds di hadapan dan lima minit selepas itu, Roberto Firmino menambah gol kedua pada minit ke-26 dalam aksi di Anfield itu.

Liverpool mengatur asakan dalam babak kedua — Sadio Mane hampir meledak gol dari jarak jauh — tetapi mereka buntu untuk menokok gol yang berpeluang membunuh pertemuan ini lebih awal.

Tidak kecewa dengan kegagalan mereka untuk menghukum Porto dengan lebih berat lagi, Henderson lebih gemar untuk menumpukan kepada keupayaan pasukannya yang menghalang pasukan lawan daripada mendapatkan jaringan di tempat lawan.

“Mereka sebuah pasukan yang baik dengan pemain yang baik,” katanya kepada BT Sport. “Anda dapat melihat sendiri bahawa mereka berbahaya apabila menggempur.

“Mereka memiliki beberapa peluang tetapi secara keseluruhan kami gembira dengan kesudahan 2-0. Tidak melepaskan gol lebih penting.

“Kami tetap berusaha dalam babak kedua dan berpeluang menjaringkan beberapa gol tetapi tidak berjaya berbuat demikian. Secara keseluruhan, kami gembira dengan bekalan 2-0 ini sebelum bertandang ke sana.”

Virgil van Dijk mengalami lebam selepas bertembung dengan Moussa Marega namun pertahanan Belanda tersebut menyukai pertemuan seumpama itu.

“Dia seorang pemain yang tegap, sukar dihadapi,” katanya. “Saya menikmati pertempuran ini.

“Kami tidak dibolosi, mendapatkan dua jaringan yang baik — kami pasti boleh meneruskan perjuangan.”