FAM patut fokus kualiti pengadilan bukan negeri kelahiran – Subkhiddin

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Salleh menganggap badan induk itu tidak perlu merubah prosedur pemilihan pengadil dengan mengambil kira negeri kelahiran pengadil tersebut sebelum mengadili mana-mana perlawanan.



Beliau melihat FAM mengambil keputusan terburu-buru bagi menghentikan polemik berkenaan pengadil tanpa melihat kepada punca sebenar aspek pengadilan bola sepak tanah air.

Subkhiddin merasakan perkara yang sepatutnya menjadi keutamaan badan induk bola sepak negara adalah berusaha meningkatkan kualiti pengadilan para pengadil dalam mengendalikan perlawanan-perlawanan bola sepak dan bukannya melihat kepada negeri kelahiran pengadil tersebut.

“FAM seakan-akan terkejut dengan bertindak untuk mengubah ketetapan itu.

“Bagi saya, ia perkara mustahil dan tidak perlu kerana yang paling penting adalah kualiti pengadilan,” katanya yang juga merupakan bekas pengadil FIFA dalam Stadium Astro.

Mengulas mengenai perlawanan Liga Super di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Felda United di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin pada jumaat lalu, Subkhiddin mengakui terdapat kelemahan dari segi kualiti pengadilan tersebut.

Walaupun tidak mengulas mengenai keputusan kontroversi layangan tiga kad merah dan tambahan lapan minit masa tambahan, beliau menegaskan, setiap pengadil perlu bersikap adil semasa menjalankan tugas dan tidak mudah terpengaruh dengan corak permainan mana-mana pasukan.

“Pengadil perlu berada di tengah-tengah dan tidak boleh menyebelahi mana-mana pasukan.

“Dia perlu berlaku adil dan memahami taktikal perlawanan tersebut,” tambahnya lagi. – foxsport