Kebangkitan di Barca pasti lebih gemilang daripada keajaiban di PSG – Solskjaer

Image result for manchester barcelona daily mail solskjaer

Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, percaya bahawa kemenangan di Barcelona dalam pertemuan timbal balik Liga Juara-Juara (UCL) minggu depan akan menjadi pencapaian yang lebih gemilang daripada kejayaan mereka ketika menyingkirkan Paris Saint-Germain (PSG) dalam pusingan 16.



United akan menuju ke Camp Nou dengan misi perlu memadamkan defisit gol selepas tumpas 0-1 dalam aksi suku akhir pertama di Old Trafford, awal pagi tadi.

Gol sendiri Luke Shaw meninggalkan United untuk menghadapi satu lagi misi kebangkitan di tempat lawan, namun Solskjaer menganggap The Red Devils mampu meloloskan diri seperti yang mereka lakukan ketika mereka ketinggalan 0-2 kepada PSG sebelum bangkit dengan kemenangan 3-1 di Paris, bulan lalu.

“Sudah tentu. Prestasi ketika bertemu PSG memberikan kami harapan dan kepercayaan bahawa kami mampu melakukannya,” kata Solskjaer dalam sidang media selepas perlawanan.

“Begitupun, kami sedar bahawa kami akan menentang sebuah pasukan pilihan dan kami akan berdepan cabaran ketika berkunjung ke sana.

“Ia akan menjadi satu pencapaian yang lebih besar dengan memenangi pertemuan itu berdasarkan sejarah yang dimiliki Barcelona. Mereka tidak biasa tewas di tempat sendiri tetapi kami boleh melakukannya.

“Kami sedar kami boleh membawa ancaman. Sama ada melalui (Romelu) Lukaku, (Marcus) Rashford, (Anthony) Martial atau sesiapa sahaja yang akan diturunkan.

“Kami perlu mengasak mereka dengan lebih hebat lagi.”

Barca memimpin perlawanan itu sementara United berjaya merantai pergerakan Lionel Messi dan jentera pelawat selepas mereka membuka tirai jaringan di Manchester.

Satu-satunya perkara yang hilang dalam permainan United ialah jaringan — Gerard Pique dan barisan pertahanan Barca agak selesa menyekat Lukaku.

Prestasi Lukaku itu mendapat kritikan selepas perlawanan yang menyaksikan penyerang itu digantikan oleh Anthony Martial pada minit ke-68, namun Solskjaer tampil mempertahankan pemain Belgium tersebut.

“Saya fikir dia telah melakukan tugasnya dengan baik,” kata Solskjaer selepas buat pertama kalinya United kalah tiga kali di laman sendiri dalam kempen UCL.

“Dia kepenatan pada penghujung permainan. Anda dapat saksikan bahawa sebaik dia dikeluarkan, kami tidak dapat memberikan ancaman fizikal seperti yang ditawarkannya.

“Dia memainkan peranannya dengan meletakkan pihak lawan dalam keadaan tertekan.

“Tidak, kami tidak mencipta peluang, tidak menyudahkan peluang terhidang.

“Saya tidak fikir kekalahan malam ini berpunca daripada Rom atau Rash. Ia mengenai kami sebagai sebuah pasukan, kami bermula dengan agak goyah dan tidak mendapat rentak sehinggalah detik Barca menjaringkan gol.”