Kedah selamatkan karier saya – Alex

Image may contain: 4 people, people smiling, text

Sejak menyertai Kedah pada Disember lalu, Azamuddin Akil belum lagi membuat penampilan bersama pasukan itu sebaliknya menghabiskan masa merawat kecederaan paha.



Pemain mesra disapa Alex itu menyatakan jika bukan kerana Kedah menerimanya walaupun dalam keadaan dia menanggung kecederaan, kariernya mungkin sudah berkubur.

“Saya tidak dapat berikan komitmen terbaik ketika bersama Selangor musim lepas kerana kecederaan, dan ia juga punca Selangor membuat keputusan tidak menyambung kontrak saya. Dalam keadaan macam tu, hanya Kedah yang sudi mengambil saya.

“Saya berterima kasih kepada Kedah dan mahu segera kembali beraksi, membalas jasa mereka yang menyelamatkan karier saya,” kata Alex.

Mengenai tanggapan sinis dalam kalangan penyokong bahawa dia sekadar menjadi beban kepada Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) malah ada yang melabelnya sebagai makan gaji buta, Alex menjelaskan cerita sebenar agar tidak berterusan dipandang serong.

“Senang buat duit nampak, itu adalah apa yang saya dengar dari mulut orang, tetapi mereka tidak tahu saya sebenarnya tidak dibayar gaji di Kedah. Kedah daftarkan saya sebagai pemain mereka tetapi berdasarkan perjanjian yang dipersetujui antara saya dan KFA, gaji saya hanya akan dibayar apabila saya pulih sepenuhnya dan boleh bermain.

“Jadi tidak ada istilah buat duit tanpa beraksi atau kalau ikut kata mereka, makan gaji buta. Dah masuk lima bulan saya bersama Kedah dan saya tidak dibayar.

“Malah kos pembedahan dan rawatan susulan di hospital sekalipun tidak ditanggung KFA, saya keluarkan duit sendiri hampir RM100,000,” kata bekas penyerang kebangsaan itu sepertimana dipetik daripada Sinar Harian.

Sebagai rekod, Alex merupakan produk Piala Presiden Pahang, dan sepanjang karier professional 15 tahun, dia pernah beraksi untuk Shahzan Muda, UPB My Team, Pahang, Kelantan dan Johor Darul Takzim. – foxports