Bibi Ramjani yakin Yusri pilihan tepat stabilkan TRW

  Bibi Ramjani yakin Yusri mampu stabilkan TRW

Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) menyifatkan kehadiran semula Yusri Che Lah bagi menggantikan ketua jurulatih The Red Warriors (TRW), Marko Kraljevic, yang melepaskan jawatan sebagai tepat dan mampu menstabilkan pasukan.



Presiden KAFA, Bibi Ramjani berkata, bekas pengendali Kuala Lumpur dan Felcra FC itu sangat mengenali pemain dan cukup ‘masak’ dengan corak permainan skuad Kelantan.

“Yusri pernah mengendalikan Kelantan musim lalu, jadi pasti dia mengetahui kekuatan dan kelebihan yang ada dalam pasukan ini.

“Namun, untuk meningkatkan prestasi pasukan secara keseluruhan, ia bergantung kepada pemain yang ada, bukannya faktor Yusri semata-mata,” katanya.

Bibi Ramjani juga secara peribadi berterima kasih kepada Yusri kerana sudi kembali semula ke pangkuan Kelantan biarpun mengetahui pasukan itu kini berada di dasar Liga Perdana.

“Yusri akan memulakan tugas selepas selesai menamatkan kursus Diploma Kejurulatihan Bola Sepak Pro A di Kuala Lumpur ketika ini,” katanya.

Untuk rekod, Yusri pernah mengemudikan skuad TRW musim lepas apabila menggantikan pengendali kelahiran Syria, Fajr Ibrahim, yang meletak jawatan.

Di bawah kendaliannya, Kelantan mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia sebelum disingkirkan Sabah melalui kelebihan jaringan gol di tempat lawan.