Dickson ramal gandingannya bersama Ze Love akan sukar dihentikan

Image may contain: 1 person, smiling, playing a sport

‘Orang besi’ Pahang, Dickson Nwakaeme benar-benar serius mahu Pahang terus bersaing merebut kejuaraan Liga Super musim ini. Kemenangan 2-1 Pahang ke atas PKNS FC semalam membolehkan Pahang terus mengejar Johor Darul Ta’azim dengan mereka mempunyai baki satu lagi perlawanan berbanding JDT.



“Kami perlu menang perlawanan ini kerana kami mahu terus mengejar JDT. Kalau kami kalah, atau tidak mendapat tiga mata, jurang akan menjadi lebih jauh dan ianya akan menjadi sukar untuk kami. Kami memberikan segalanya. Dengan kerjasama sepasukan, lebih tenang dan bersabar dalam perlawanan, kerana itu kami berjaya bangkit semula dalam perlawanan.”

Dickson membantu Pahang menyamakan kedudukan pada separuh masa pertama selepas PKNS mendahului permainan menerusi jaringan Chan Vathanaka. Pada separuh masa kedua, giliran rakan penyerangnya, Ze Love pula menjaringkan gol untuk membantu Pahang mengutip tiga mata di Shah Alam.

Bercakap mengenai persefahamannya dengan gandingannya di posisi penyerang, Ze Love, Dickson dapat merasakan suatu hari nanti gandingan mereka akan menjadi duo paling berbisa di Liga Super.

“Ya, ianya semakin baik. Dalam bolasepak, jika anda lebih sering bermain bersama, anda akan lebih memahami sesama sendiri. Kami bermain bersama hampir setiap hari dan persefahaman kami lebih baik. Dengan lebih banyak perlawanan lagi, pastinya kami sukar untuk dihentikan,” kata penyerang Nigeria itu selepas perlawanan.

Perlawanan seterusnya buat Pahang adalah berdepan UKM FC dalam saingan pusingan ketiga Piala FA pada hari Rabu ini di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras. – foxsport