VIDEO Liga Juara: Ajax lenyapkan impian Juventus

TURIN: Ajax Amsterdam melengkapkan kerja mereka dengan sempurna apabila melenyapkan impian Juventus untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara dengan merakam kemenangan 2-1 dalam perlawanan kedua di sini, pagi tadi.

Kapten Ajax, Matthijs de Ligt yang berusia 19 tahun memastikan kemaraan pasukannya dengan tandukan sepakan sudut pada minit ke-67 untuk mara dengan agregat 3-2 sekali gus menamatkan penantian sejak kali terakhir ke separuh akhir pada musim 1996/97.



Cristiano Ronaldo, yang turun dengan misi menjulang trofi kali keempat meletakkan Juve di depan pada minit ke-28 menerusi tandukan padunya sekali gus mengutip gol ke-126 dalam Liga Juara-Juara.

Namun, enam minit kemudian, Donny van de Beek menyamakan kedudukan sebelum pelawat memastikan tuan rumah tertekan apabila melancarkan serangan bertali arus untuk menempah pertemuan menentang sama ada Manchester City atau Tottenham Hotspur.

“Bolehkan kami menang pertandingan ini? Apapun, kami sudah ke separuh akhir. Kami sudah menyingkirkan dua pasukan pilihan. Perlawanan selepas ini memang sukar, sama seperti perlawanan malam ini, tapi siapa tahu,” kata pengurus Ajax, De Ligt.

Frenkie de Jong menambah: “kami menguasai perlawanan selepas rehat dan berhak menang malah kami sepatutnya menang lebih besar.”

Begitupun kesilapan penjaga gol Ajax, Andre Onana mencemaskan keadaan apabila gagal menguis bola Emre Can mujur cubaan susulannya tersasar.

Juventus mendahului selepas Ronaldo berjaya melepasi kawalan pertahanan lawan sebelum mengutip jaringan ke-126 sepanjang kempen Liga Juara-Juara.

Ajax yang tenang selepas ketinggalan bangkit enam minit kemudian menerusi hantaran jauh Hakim Ziyech yang terkena pemain pertahan sebelum bola jatuh betul-betul di kaki Van de Beek sebelum meledak melepasi jangkauan Wojciech Szczesny.

Pada babak kedua, Ajax menguasai saingan apabila setiap hantaran mereka kerap melepasi kekangan pertahanan Juventus yang tidak dapat menurunkan pemain veterannya, Giorgio Chiellini.

Begitupun, ketangkasan Szczesny berjaya menghalang cubaan Ziyech dan Van de Beek bagi mengelak kekalahan lebih besar.

Juventus yang bertahan bagaimanapun bolos sekali lagi menerusi tandukan De Ligt yang melonjak tinggi di celah-celah pertahanan lawan.

Ajax berpeluang menggandakan jaringan di hujung saingan yang trurut menyaksikan Ronaldo hampa selepas dia dilayangkan kad kuning selepas menerjah lawan dari belakang pada minit terakhir perlawanan. – Reuters