“Kemenangan ini bukan kerana kami bernasib baik” – Datuk K. Rajagopal

Image result for rajagobal pkns

Datuk K. Rajagopal menolak andaian yang mengatakan kemenangan mereka ke atas Johor Darul Ta’azim (JDT) dalam perlawanan pusingan ketiga Shopee Piala FA 2019 semalam adalah kerana mereka bernasib baik.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos itu, PKNS berjaya menewaskan JDT 1-0 menerusi jaringan Kpah Sherman pada minit ke-48.



“Kalau anda kata kami bernasib baik untuk kemenangan ini, adakah anda melihat keseluruhan perlawanan? Kami terlepas beberapa peluang biarpun pemain kami berada dalam situasi satu lawan satu dengan penjaga gol. Ketika kami mendahului 1-0, Kpah Sherman terlepas beberapa peluang biarpun sekadar berdepan dengan penjaga gol.

Ini bukan kemenangan nasib. Dalam satu perlawanan, kadangkala anda mungkin akan bernasib baik. Berdepan pasukan hebat, ianya bukan satu perkara mudah dan kemenangan ini adalah suntikan semangat buat pemain.”

JDT terpaksa bermain dengan 10 orang pemain seawal minit ke-10 apabila Kiko Insa dilayangkan kad merah selepas mengasari pemain PKNS, Faizat Ghazali. Menurut Rajagopal, biarpun mempunyai kelebihan seorang pemain, pasukannya tetap mengekalkan corak permainan mereka.




“Ia tidak mengubah permainan kami. Walau apa pun yang saya lakukan pada pasukan, JDT tetap mempunyai barisan pemain yang berkualiti di setiap posisi. Biarpun mereka bermain kurang satu pemain, mereka tetap memberi tekanan kepada pasukan kami. Kami berjaya mengekalkan disiplin dan tidak memberi ruang kepada pemain JDT kerana mereka memiliki pemain yang mempunyai keupayaan individu yang baik.”

Kedua-dua pasukan akan berentap sekali lagi, kali ini dalam aksi Liga Super pula pada hari Sabtu ini di Larkin.