Lee Tuck belum jumpa dokumen

Nampaknya jika kita mahu melihat aksi pemain tengah Terengganu menyarung jersi Harimau Malaya, ianya mungkin tidak akan berlaku dalam masa terdekat ini.

Semua ini dikatakan berpunca daripada pemain itu sendiri yang gagal mengemukakan dokumen lengkap yang diperlukan untuk didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).



“Sebenarnya, bukan PBSNT tidak berusaha…semua kena faham situasi ini. Ia berkaitan pemain itu sendiri. Apa sahaja yang Lee mahukan termasuk minatnya untuk menyarung jersi kebangsaan kita cuba membantu tetapi kita masih menunggu bukti dokumentasi daripada Lee.

“Bukti yang mengatakan bahawa dia ada pertalian darah sebelah nenek seperti yang beliau katakan. Sehingga sekarang beliau masih mencari dan telah meminta bantuan keluargannya di England untuk turut membantu mencari,” kata Penolong Pengurus Terengganu FC, Zulfadli Rozi seperti dilaporkan Bernama.




Lee Tuck dan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu diberi tempoh sehingga minggu depan untuk mengemukakan semua dokumen yang diperlukan atau dia perlu menunggu lebih lama untuk menyarung jersi kuning hitam Malaysia.

Jika semua urusan dapat diselesaikan dengan segera, Lee Tuck akan mengikut jejak langkah beberapa pemain berdarah kacukan yang menyarung jersi Malaysia seperti Kiko dan Natxo Insa, Brendan Gan, Matt Davies dan Junior Eldstal sebelum ini.