Pahang jumpa Perak dan JDT tanpa kelibat Dickson Nwakaeme

Related image

Jurulatih Pahang, Dollah Salleh mengesahkan penyerang utamanya Dickson Nwakaeme tidak dapat diturunkan sekurang-kurangnya dua minggu setelah pemain itu mengalami kecederaan harmstring, sekali lagi.

Dickson yang sudah beberapa kali tersisih musim ini kerana masalah kecederaan dan kecergasan, bermain selama 90 minit pada 14 April lalu ketika menewaskan PKNS FC dalam aksi Liga Super malah turut menyumbangkan satu gol dalam perlawanan itu.



Namun tiga hari kemudian pemain kelahiran Nigeria itu hanya sempat berada di atas padang selama 45 minit ketika menentang UKM FC dalam aksi pusingan ketiga Piala FA, gara-gara mengalami kecederaan dan digantikan oleh Saddil Ramdani.

“Saya tidak pasti berapa lama dia akan tersisih, tetapi berdasarkan pengalaman ia akan mengambil masa selama dua minggu jadi kita terpaksa melupakannya untuk dua aksi terakhir Liga Super.

“Malah kemungkinan besar dia tidak akan dapat diturunkan ketika menentang Terengganu dalam aksi suku akhir Piala FA, walau apapun saya tidak boleh merungut dan perlu menggunakan sebaiknya pemain yang ada. Kita masih ada Norshahrul (Idlan Talaha), Ze Love, Faisal (Halim) yang boleh disandarkan harapan mencari gol,” kata Dollah kepada Foxsports.

Sementara itu, mengulas mengenai pertembungan ‘derby’ pantai timur menentang Terengganu FC di suku akhir Piala FA, Dollah menganggap ianya akan menjadi satu perlawanan yang cukup mengujakan peminat bolasepak tempatan.

“Pertembungan antara pasukan berjiran sentiasa akan menjadi satu perlawanan yang menarik. Kita tahu kelebihan TFC dan begitu juga Irfan Bakti juga cukup mengenali pasukan saya.

“Kita akan bermain di tempat lawan terlebih dahulu, jadi kita perlu menggunakan kelebihan ini sebaik mungkin untuk mendapatkan bekalan selesa. Yang penting, kita harus berhati-hati dan tidak sesekali leka, kalau tengok sejak beberapa perlawanan lalu kita bergelut untuk menang jadi kena perbaiki kelemahan dan sentiasa memastikan prestasi berada pada tahap yang baik.”

Pahang akan menentang Perak pada Sabtu (20 April) disusuli JDT pada 28 April, manakala aksi suku akhir pertama Piala FA pula dijadual berlangsung pada 30 April dan 1 Mei.