Bukan silap taktik gagal di Liga Juara – Guardiola

Image result for Pep Guardiola

Pep Guardiola tidak kesal dengan pendekatan taktikalnya selepas Manchester City tersingkir daripada Liga Juara-Juara (UCL) berikutan kekalahan mereka kepada Tottenham.

City memenangi aksi timbal balik itu 4-3, Khamis lalu, tetapi peraturan jaringan di tempat lawan di samping teknologi video bantuan pengadil (VAR) yang menafikan jaringan Raheem Sterling pada masa pemberhentian, menyaksikan skuad kendalian Guardiola itu berputih mata untuk melangkah ke separuh akhir.



Guardiola mempertaruhkan barisan yang lebih bertahan dalam pertemuan pertama untuk City kalah 0-1, namun pertemuan kedua berlangsung lebih terbuka dengan kedua-dua pasukan saling berbalas gol dengan empat jaringan terhasil dalam tempoh 11 minit pembukaan permainan.

City terdedah di bahagian pertahanan selepas Son Heung-min memberikan persembahan bertenaga untuk mengatasi Vincent Kompany sementara Aymeric Laporte pula tidak beraksi tenang seperti kebiasaannya.

Sehubungan itu, Guardiola menegaskan dia tidak memiliki kekhuatiran terhadap barisan pertahanannya untuk melanjutkan pertemuan dengan Tottenham dalam aksi liga, hari ini.

“Kami banyak melepaskan gol tetapi kami juga banyak menjaringkan gol,” Guardiola memberitahu sidang akhbar. “Ketika kami beraksi di Tottenham, orang berkata, ‘dia menyesuaikan diri dengan keadaan dan tidak menjadi dirinya sendiri, bagaimana dia menerapkan taktikal begitu bertahan, dia tidak menyerang’.

“Tetapi orang tidak fikir berapa ramaikah pemain kami yang baru kembali daripada kecederaan dan bagaimana kami perlu berdepan mereka yang baru dua hari berpindah ke stadium yang baru.

“Sekiranya kami beraksi di Tottenham seperti ketika aksi timbal balik, maka kami pasti akan tewas dengan tiga atau empat gol tanpa balas. Kita perlu ingat, dalam aksi di Anfield musim lalu, mereka mencetak tiga gol melalui tiga peluang.

“Buat masa ini, kami masih mengamalkan permainan yang menyaksikan kami menghimpunkan 154 gol musim ini. Kami mahu mempamerkan permainan yang mantap buat semua orang, anda dan penonton di seluruh dunia.

“Pendekatan itu tidak akan berubah tetapi ia belum memadai untuk kami mara lebih jauh musim ini. Kami akan cuba dan melakukannya lagi musim depan. Ini adalah musim ke-10 saya sebagai pengurus, ia sentiasa menjadi sesuatu yang saya mahu lakukan. Akan ada detik buruk tetapi kami jujur ​​dengan corak permainan kami.




“Sudah tentu kami mahu memperbaiki dan mengatasi kesilapan. Kita menyedarinya dan kita bercakap tentangnya. Ada masanya pemain melakukan tindakan yang baik atau buruk dan kita harus menerimanya.”

City mempamerkan aksi sensasi ketika membelah pertahanan Tottenham yang menyaksikan Kevin De Bruyne mengemudi bahagian tengah dengan cemerlang manakala Sterling dinafikan hatrik oleh VAR.

“Kesempurnaan tidak akan dapat diperoleh tetapi anda perlu mencapainya,” kata Guardiola ketika ditanya apakah pasukannya adalah pasukan yang sempurna.

“Jika itu satu kesempurnaan, perlawanan akan menjadi 4-0, bukannya 4-3 atau 7-0 kerana kami mencipta peluang yang mencukupi untuk mencetak tujuh gol. Jadi kesempurnaan tidak wujud tetapi kami haruslah mencubanya.

“Jika anda tidak membetulkan kesilapan, kesilapan akan berulang dan walaupun anda membetulkannya, kesilapan akan tetap datang jua.

“Saya suka melihat apabila pemain saya terus berjuang sehingga wisel penamat.”