VIDEO Benam Spurs, Manchester City naik ke tahta liga

MANCHESTER: Jaringan tunggal Philip Foden pada babak pertama memastikan Manchester City meneruskan pemburuan kejuaraan Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan Tottenham Hotspur 1-0, sebentar tadi.

Kemenangan menyaksikan skuad kendalian Pep Guardiola itu merampas kedudukan pendahulu liga daripada seteru utama, Liverpool berbaki empat perlawanan.



Liverpool begitupun boleh merampas kembali carta teratas jika meraih kemenangan ke atas Cardiff City, malam esok.

Selepas masing-masing menempuh 34 perlawanan, City menduduki kedudukan teratas selepas mengumpul 86 mata dengan Liverpool ketinggalan satu mata di belakang.




Pada aksi di Etihad itu, kemenangan begitupun seakan tidak dapat memadam kedukaan City yang turut disingkirkan Spurs dalam kancah Liga Juara-Juara, pertengahan minggu ini.

Sekali pun meraih kemenangan 4-3 pada aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara itu di gelanggang sendiri, Spurs menjadi pasukan yang mara ke peringkat empat terbaik saingan elit Eropah itu menerusi peraturan gol di tempat lawan selepas kedudukan agregat terikat 4-4.

Sekali pun pertemuan kedua-dua pasukan yang membariskan kesebelasan terbaik itu berlangsung sengit, hanya satu gol dapat disaksikan pada minit kelima perlawanan.

Berpunca daripada serangan dari sebelah kanan, hantaran lencong Bernardo Silva tiba tepat ke kepala Sergio Aguero yang kemudian membuat tandukan ke tengah gawang Spurs yang disambar Foden.

City begitupun terpaksa membayar harga tinggi bagi kemenangan itu selepas tonggak tengahnya, Kevin De Bruyne, terpaksa dikeluarkan pada babak pertama susulan kecederaan. – Agensi