Pemain Man United ‘bergaduh’ selepas dimalukan Everton

Image result for man united dressing room fight

MANCHESTER: Sejurus tewas memalukan kepada Everton kelmarin, keadaan bilik persalinan Manchester United bertukar menjadi hingar-bingar apabila pemain dilaporkan bertelagah sesama sendiri.

Pengendali, Ole Gunnar Solskjaer menghabiskan masa lebih setengah jam di bilik persalinan bersama pemain selepas diaibkan 4-0 di Goodison Park sebelum memohon maaf secara terbuka kepada penyokong.



Pemain United dikatakan menuding jari sesama sendiri malah kedengaran jeritan hinggakan ke koridor tatkala mereka terus berbincang mengenai kekalahan besar itu.

“Kami membiarkan pengurus bercakap, kakitangan bercakap dan apa yang dikatakan mereka adalah benar,” kata Paul Pogba kepada Sky Sports.

“Kami tidak menunjukkan rasa hormat pada diri sendiri, kelab dan penyokong. Malah, apa yang kami pamerkan atas padang seperti tidak menghormati rakan sepasukan, kakitangan, orang ramai dan ‘kitman’.

“Apa yang kami peragakan atas padang, merosakkan segala keseronokan mereka dan itu sebab kami sangat marah pada diri sendiri. Apa yang pasti kami mahu melakukan lebih baik dan seharusnya perlu berbuat demikian. Kami perlu berikan reaksi segera.”

Semalam perbincangan itu bersambung di pusat latihan Carrington selama sejam dengan tumpuan lebih kepada proses memberi teguran atas persembahan individu pemain menerusi sesi analisis video.

Solskjaer dan kakitangannya amat berang dengan persembahan pemainnya termasuk memberi kata dua kepada mereka.

Keadaan bertambah keruh buat pemain, pengurus United itu bersama penolongnya, Mike Phelan apabila dilaporkan mereka terpaksa memanggil mesyuarat khas bagi membincangkan cadangan rombakan pasukan pada musim panas ini selepas mengalami kekalahan keenam daripada lapan aksi terakhir.

Sumber dalaman United memberitahu bahawa situasi tegang di bilik persalinan itu hampir sama ketika di bawah kendalian Jose Mourinho apabila United mula merosot September lalu. – AGENSI