Tiada masalah siapa diturunkan, pemain JDT hebat belaka

Biarpun Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dijangka tidak dapat menurunkan kesebelasan utamanya menentang Shandong Luneng, kapten pasukan, Hariss Harun tetap percaya rakan-rakannya yang lain mampu memberikan saingan dalam perlawanan Liga Juara-Juara AFC, esok.

Pada hemat beliau, rata-rata pemain yang menyarung jersi Harimau Selatan adalah hebat belaka. Apa yang penting, sesiapa sahaja yang diturunkan perlu mengikuti perancangan yang diterapkan ketua jurulatih di samping memberikan persembahan 100% di atas padang.



“JDT merupakan sebuah kelab yang besar dengan ramai pemain yang hebat. Kami perlu percaya antara satu sama lain dan perlu memberi semangat kepada sesiapa sahaja yang diturunkan dalam kesebelasan utama.

“Perlawanan ini tidak hanya tertumpu kepada aspek fizikal semata-mata tetapi turut tertumpu kepada aspek mental. Apa yang penting adalah setiap pemain perlu tahu tanggungjawab masing-masing dan apa yang perlu dilakukan dalam perlawanan ini.” ujarnya seperti dilaporkan oleh laman sosial, JOHOR Southern Tigers.

Wakil kedua-dua pasukan dalam sidang media praperlawanan di antara JDT dan Shandong Luneng. Foto: JST
Dalam aksi terdahulu menentang Shandong Luneng, JDT tersungkur 2-1 di laman lawan hasil jaringan Marouane Fellaini dan Graziano Pelle. Walaupun perlawanan seterusnya berlangsung di Stadium Larkin, tidak bermakna segala-galanya akan memihak kepada pasukannya.




Bagaimanapun, Hariss menegaskan bahawa skuad Harimau Selatan telah mengambil pengajaran terhadap kekalahan mereka sebelum ini dan akan memberikan saingan sepenuhnya pada hari esok.

“Para pemain juga perlu percaya kepada kemampuan diri masing-masing sewaktu beraksi dalam kejohanan tertinggi Asia ini. Kami tahu bahawa kami mampu memberi saingan. Benar kami telah melakukan beberapa kesilapan namun ia akan menjadi pengajaran kepada kami untuk memperbaikinya.

“Bermain di halaman sendiri juga memberi peluang yang besar kepada kami. Kami akan memberikan serta melakukan yang terbaik dalam perlawanan yang penting ini. Kami akan bermain dengan cara JDT.” tambahnya lagi.