Penyokong pasang kain rentang desak Bibi letak jawatan

KOTA BHARU: Penyokong Kelantan semakin hilang sabar dengan pengurusan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) apabila wujud kumpulan penyokong yang menaikkan kain rentang serta poster, memaksa beberapa individu dalam badan induk itu mengundur diri.

Tinjauan mendapati kain rentang dan poster terbabit dinaikkan di sekitar bandar Kota Bharu, Pasir Mas serta di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV hari ini.



Pada kain rentang terbabit terdapat nama Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan bersama seorang individu yang bernama, Syed Abdullah Syed Mahmood yang didesak meletak jawatan.

Seorang penduduk di Bandar Baru Pasir Mas yang enggan dinamakan berkata, kain rentang terbabit dinaikkan di persimpangan lampu isyarat berdekatan rumahnya oleh beberapa individu malam tadi.

“Petang tadi (semalam) tiada lagi kain rentang atau poster di simpang tiga itu dan kemungkinan ada beberapa individu (penyokong) yang menaikkan pada sebelah malam,” katanya.




KAIN rentang dan poster dipercayai dinaikkan beberapa kumpulan penyokong Kelantan yang memaksa Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan meletakkann jawatan dalam badan induk itu. – Foto ihsan pembaca

Bibi Ramjani yang juga seorang usahawan menawarkan diri menerajui badan induk itu dan memenangi kerusi terbabit pada Kongres Tahunan KAFA ke-63 pada 2017.

Sejak beliau dilantik, Bibi Ramjani melakukan beberapa tindakan drastik dalam pasukan dan merombak sebahagian besar pemain dengan menaikkan ‘pangkat’ pemain muda untuk beraksi dengan skuad The Red Warriors (TRW).

Dalam tempoh dua musim mengambil alih pasukan sehingga kini, beliau juga cuba menyelesaikan hutang lapuk yang ditanggung badan induk itu.

Bagaimanapun, krisis dalaman KAFA menjadi semakin kritikal berikutan prestasi hambar pasukan yang gagal memikat hati penyokong.

Kelantan kini menghuni kedudukan tercorot dalam saingan Liga Perdana sekali gus memerlukan perubahan yang drastik untuk menyelamatkan pasukan.