Pahang gagal gugat kedudukan JDT

 

Kedudukan puncak Liga Super tidak berubah selepas pertembungan dua seteru ketat yang menguasai persada, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Pahang, terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata apabila seri 1-1 di Stadium Darulmakmur, malam ini.



Kedua-dua pasukan turun dengan misi melakar kemenangan dengan menyedari kemenangan Pahang akan mengubah kedudukan di puncak berikutan Harimau Selatan kini mendahului dengan dua mata.

Dollah Salleh mengambil risiko dengan menyenaraikan pemain import, Dickson Nwakaeme, meskipun penyerang kelahiran Nigeria itu belum cergas sepenuhnya manakala kehilangan dua nadi tengah, Nor Azam Azih dan Safuwan Baharudin, dan ketiadaan itu ditampung oleh Salomon Raj dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria.

Ketika tuan rumah masih menyusun permainan, JDT menggegar gawang tuan rumah menerusi kelincahan Gonzalo Cabrera pada minit kelima.

Namun, jaringan itu tidak mengendurkan semangat Pahang apabila mula melancarkan asakan ke kubu lawan.

Selepas saling mengacah gawang lawan, beberapa insiden kekasaran mulai tercetus.




Herold Goulon, yang menjadi wira ketika Pahang menundukkan Perak minggu lalu, sekali lagi melakar nama sebagai penjaring hasil tandukan yang menewaskan Farizal Marlias pada minit ke-35.

Namun, empat minit berselang, dia dikasari pertahanan JDT, Mauricio Nascimento.

Mauricio kemudian sekali lagi mencuri perhatian pengadil apabila tekadnya untuk merebut bola di udara berakhir dengan rempuhan ke atas Nwakaeme yang mengundang kepada kad kuning kedua pada masa kecederaan separuh masa kedua untuk diperintahkan keluar padang.

Dua peluang terbaik terhasil dalam babak kedua.

Safawi Rasid terlebih dahulu menggegar palang Tok Gajah dengan kaki kiri berbisanya selepas sejam perlawanan sebelum pemain gantian, Muhammad Zuhair Aizat Mohd Nazri, gopoh ketika melakukan penyudah hingga mensia-siakan peluang pada lewat permainan.

Di sebalik kekurangan seorang pemain sepanjang 45 minit kedua, JDT pulang berbekal satu mata untuk kekal di tangga teratas dengan berakhirnya pusingan pertama liga.