Ligue 1: PSG tersungkur lagi

PARIS: Paris Saint-Germain (PSG) terus mempamer kemerosotan apabila juara Ligue 1 itu dipalit kekalahan 3-2 kepada Montpellier, awal pagi tadi, tiga hari selepas kekalahan dramatik di final Piala Perancis.

Penyerang veteran, Souleymane Camara meledak gol kemenangan Montpellier, lima minit sebelum perlawanan berakhir dengan PSG turut mensia-siakan kelebihan mendahului permainan sebanyak dua kali.



PSG membuka tirai jaringan seawal minit ke-12 menerusi jaringan sendiri pemain Montpellier, Ambroise Oyongo tetapi ia disamakan tuan rumah juga menerusi pemain sendiri pelawat, Presnel Kimpembe pada minit ke-21.

Pemain Argentina, Angel Di Maria kembali meletakkan PSG di depan pada minit ke-62 tetapi kembali disamakan Montpellier menerusi Andy Delort, sepuluh minit sebelum permainan berakhir sebelum Camara meledak gol kemenangan pada minit ke-85.

Skuad kendalian Thomas Tuchel melengkapkan kejuaraan keenam Ligue 1 dalam tempoh tujuh musim minggu lalu tetapi kekalahan terbaru menyaksikan mereka sudah tewas tiga daripada lima aksi liga.




“Kami melakukan kesilapan individu, terlalu ramai yang melakukan kesilapan, dan ia kesilapan yang besar,” kata Tuchel. “Dalam situasi sebegini, sukar untuk memenangi perlawanan di Montpellier, pasukan yang amat kuat dan agresif ketika bertahan.”

Kekalahan jelas meningkatkan tekanan buat Tuchel, yang masa depannya mulai dipersoal susulan prestasi longlai di pentas domestik mengikuti penyingkiran memalukan dalam kempen Liga Juara-Juara kepada Manchester United.

PSG mensia-siakan kelebihan mendahului dengan dua gol pada aksi final Piala Perancis, Sabtu lalu sebelum tewas kepada Rennes menerusi penentuan penalti.

Bintangnya, Kylian Mbappe diarah keluar padang pada perlawanan berkenaan manakala sensasi Brazil, terpalit kontroversi apabila mengasari peminat yang mengejek rakan sepasukannya ketika upacara penyampaian pingat. – AFP