Keluarkan kenyataan berbaur penghinaan, FAM akan siasat dakwaan JDT terhadap pengadil

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan telah menerima laporan daripada Johor Darul Takzim (JDT) terhadap pengadil, Zohri Tajuddin yang dikatakan telah mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap salah seorang pemain import mereka, ketika perlawanan menentang Pahang pada 28 April lalu.



Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan, “Kita belum boleh menghukum kerana setiap laporan yang dihantar perlu melalui prosedur yang telah ditetapkan, jadi sepertimana juga laporan lain, kita akan siasat laporan oleh JDT ini, dan adalah lebih adil kita mendapatkan keterangan daripada pengadil (Zohri).

“Selepas itu bahagian undang undang dan jawatankuasa pengadil akan membuat keputusan yang sepatutnya.”

Pengurus JDT Luciano Figueroa sebelum ini meluahkan rasa tidak puas hati terhadap prestasi Zohri ketika mengadili perlawanan ‘panas’ di Stadium Darulmakmur itu yang berkesudahan dengan keputusan seri 1-1.

Menurutnya, Zohri bukan sahaja membuat beberapa keputusan kurang tepat termasuklah layangan kad merah kepada pemain pertahanannya, Mauricio Dos Santos Nascimento di penghujung separuh masa pertama kerana mengasari Dickson Nwakaeme, tetapi dalam masa sama tidak menunjukkan satu contoh yang baik.




“Pengadil tidak menunjukkan rasa hormat, dia menyatakan ‘pergi balik ke negara anda, kami tidak perlukan pemain luar negara seperti anda di sini’. Saya amat kecewa dan marah mengenai perkara ini,” ujar Figueora mengenai kenyataan tersebut.

Ironinya, pada 2014, Figueroa sendiri bersama sama seorang lagi pemain import JDT ketika itu, Pablo Aimar pernah dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib FAM kerana mengeluarkan kata kurang sopan berbaur penghinaan berbunyi ‘monyet negro’ kepada pemain Pahang, Damion Stewart tetapi diputuskan tidak bersalah kerana tiada bukti mereka berbuat demikian. – Foxsport