Timor Leste belum sahkan tempat pertemuan dengan Harimau Malaya

Image result for timor leste vs malaysia

KUALA LUMPUR 2 Mei – Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) masih belum menerima sebarang pengesahan daripada Timor Leste, mengenai tempat perlawanan timbal balik antara negara itu dan Malaysia yang sepatutnya berlangsung pada 11 Jun.



Walaupun tarikh akhir menamakan tempat perlawanan tersebut, pada Selasa (30 April) lepas, Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John berkata, Persekutuan Bola Sepak Timor Leste (FFTL) masih belum menghantar sebarang maklumat mengenai tempat alternatif untuk perlawanan timbal balik Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.

“Tiada sebarang pengesahan rasmi atau surat rasmi dari Timor Leste pada masa ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Timor Leste terpaksa menyediakan tempat baharu untuk perlawanan itu apabila Stadium Perbandaran Dili tidak melepasi syarat mengendalikan sesebuah perlawanan antarabangsa.

Malaysia sepatutnya menjadi tuan rumah untuk perlawanan pertama pada 6 Jun.




Bagaimanapun Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam sebelum ini mengatakan FAM akan memohon kepada AFC untuk menukar tarikh tersebut kepada 7 Jun selepas Timor Leste telah memberikan pengesahan tempat perlawanan, disebabkan Hari Raya Aidilfitri dijangka disambut pada 5 Jun.

Beliau juga telah menyuarakan kesediaan Malaysia untuk menjadi tuan rumah perlawanan kedua tersebut.

Untuk rekod, pasukan ‘The Rising Sun’ pernah memilih Malaysia dua kali sebagai ‘rumah’ mereka iaitu ketika kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Larkin Johor dan Piala AFC 2018 di Stadium Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, hujung tahun lepas.

Malaysia yang kini berada di ranking 168 dunia, perlu menang perlawanan play off untuk mara ke pusingan kedua kelayakan itu, di mana enam pasukan yang menang akan menyertai 34 pasukan terbaik Asia dalam pusingan seterusnya termasuk juara Kejuaraan Asia dan tuan rumah Piala Dunia, Qatar.- BERNAMA