TMJ tak salah – Luis Figo

Image result for luis figo TMJ

Bekas pemain terbaik dunia, Luis Figo berpendapat Pengerusi Malaysian Football League (MFL), Mejar Jeneral Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak wajar dipersalahkan di atas kelemahan-kelemahan yang semakin terserlah dalam arena bolasepak negara.



Justeru Luis Figo yang juga pemenang Ballon d’Or tahun 2000 tampil mempertahankan kredibiliti Tunku Ismail yang dianggapnya sebagai ‘Bapa Pemodenan Bolasepak Malaysia’ dan percaya baginda adalah tokoh paling layak untuk memacu bolasepak negara khususnya Liga Malaysia ke tahap lebih tinggi.

“Saya ada terbaca ‘posting’ kurang baik mengenai tindakan pihak-pihak tertentu yang mengkritik kredibiliti Tunku Ismail dan juga MFL yang diterajuinya menerusi laporan berita ‘online’. Lalu saya terus menghubungi Tunku Ismail di mana saya memberikan kata-kata semangat kepada baginda.

“Pada saya, jika anda mahu liga menjadi lebih baik, kelab perlu mengikuti semua keperluan dan peraturan liga. Apa yang dilakukan Tunku Mahkota Johor adalah betul dan berada dalam landasan tepat. Jika kelab tidak mematuhi peraturan dan keperluan liga, liga tidak akan bertambah menjadi semakin baik,” katanya yang kini bertugas sebagai Penasihat Kesatuan Bolasepak Eropah.

Dalam perkembangan sama, Luis Figo yang pernah menjulang trofi Liga Juara-Juara pada tahun 2002 bersama Real Madrid, berkata Tunku Ismail secara berseorangan tidak akan dapat merubah wajah bolasepak Malaysia dan menuntut semua rakan kongsi Liga Malaysia agar memberikan sokongan dan kerjasama, serta bergerak seiring dengan perancangan MFL.




Kata Luis Figo lagi, kesungguhan dan kerja keras Tunku Ismail ketika mempromosi nama Liga Malaysia di seluruh dunia telah menarik perhatiannya di mana beliau optimis baginda seharusnya diberikan penghargaan dan bukannya dipersalahkan.

“Saya juga pernah berjumpa dengan pihak pengurusan MFL terutama Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam dan saya berasa bahawa pengurusan MFL di bawah kepimpinan Tunku Ismail sememangnya profesional.

“Jadi saya berasa terpanggil untuk memberikan kenyataan di mana saya mahu terus memberikan sokongan kepada MFL di bawah pucuk pimpinan Tunku Ismail yang sememangnya sudah berada di landasan tepat.

“Tunku juga telah meletakkan penanda aras yang begitu realistik dengan menjadi pemacu utama kepada kelab-kelab lain apabila membawa wakil Malaysia ke arena gah antarabangsa Asia seperti Liga Juara-Juara Asia (ACL) buat julung kalinya dan saya percaya pasukan lain juga boleh melakukannya jika terus berusaha,” ujarnya yang bersara pada 2009. – foxsport