Khairul Amri dalam radar Felda United

Khairul Amri dalam radar Felda United

Jurulatih Felda United, Nidzam Jamil, mengakui penyerang kelahiran Singapura, Khairul Amri Mohammad Kamal, kini dalam radar The Fighters.



Kekosongan slot import ASEAN seolah-olah cukup sempurna untuk diisi penyerang antarabangsa Singapura itu.

Nidzam tidak mahu berselindung dan menjelaskan pemain itu sememangnya dalam perhatian Felda.

Perbincangan melibatkan dua pihak sedang berlaku dan Nidzam mengharapkan ia berakhir dengan berita gembira buat Felda.

“Dia seorang pemain berpengalaman yang beraksi sebagai pemain kebangsaan Singapura dan merupakan sesuatu yang penting buat Felda. Dia turut berada di tahap terbaik selepas meledak tiga jaringan dalam saingan Liga Juara-Juara Asia,” kata Nidzam.




Selain daripada Felda, kelibat pemain itu turut mendapat perhatian pengendali Perak, Mehmet Durakovic.

Perak yang berhadapan kesukaran untuk mencari rentak kemenangan, khabarnya sudah berpatah arang dengan Gilmar Jose da Silva dan sedang mencari pengganti.

“Kami akan berbincang dengan pihak pengurusan dalam membincangkan pemain yang mahu dibawa masuk bagi memperkuatkan skuad Perak,” kata Durakovic.

Khairul Amri kini bersama Tampines Rovers dalam Liga Singapura.