Messi boleh bermain hingga usia 45 tahun – Bartomeu

Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu, percaya bintang besar pasukannya, Lionel Messi, akan beraksi sehingga berusia 45 tahun.

Messi menjaringkan golnya yang ke-600 buat Barca ketika pemenang lima kali anugerah Ballon d’Or itu membantu kemengan 3-0 pasukannya ke atas Liverpool dalam separuh akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah di Camp Nou, awal pagi Khamis lalu.



Pemain berusia 31 tahun itu memanjangkan tempoh perkhidmatannya dengan Barca pada 2017 — dengan kontrak lanjutan hingga 2021 — dan Bartomeu berasakan perjalanan Messi masih jauh sebelum mengumumkan persaraan.

“Pada hari Messi mengumumkan persaraan, saya mungkin sudah tidak bergelar presiden kerana dia akan mengatasi saya,” katanya kepada Daily Mail.

“Dia masih boleh memberikan banyak sumbangan buat bola sepak.

“Saya memikirkan ia masih terlalu jauh.

“Lihat sahaja kekuatan sepakan percumanya (ketika menewaskan Liverpool).

“Dia berada di jarak yang terlalu jauh dan bola itu benar-benar terbang.

“Dia lebih kuat berbanding dulu.”

Bartomeu menambah: “Saya berharap Leo akan bermain sehingga usianya 45!




“Saya tidak tahu apa yang akan dia lakukan, namun ia pasti hebat andai dia masih bersama pasukan ketika kami merasmikan stadium baru.

“Presiden daripada pasukan lain datang ke Camp Nou dan perkara pertama yang mereka tanyakan adalah ‘adakah Messi akan beraksi hari ini?’.

“Mereka menyokong pasukan mereka tetapi mereka juga cintakan bola sepak dan mahu bertemu dengannya,” tambahnya.

Messi menikmati satu lagi kempen terhebat buat Barca dengan menjaringkan 48 gol sepanjang musim ini — termasuk 34 dalam saingan LaLiga.