Liverpool boleh buat anda sengsara – Valverde

Image result for Ernesto Valverde

MADRID: Ernesto Valverde mahu Barcelona kendaliannya terus berwaspada walaupun membawa bekalan selesa tiga gol ke Anfield untuk aksi timbal balik separuh akhir Liga Juara-Juara esok.



“Liverpool adalah pasukan yang mampu membuatkan lawannya sengsara,” kata Valverde. “Dan sudah tentu tahun lalu kami ada kelebihan tiga gol di suku akhir dan kami disingkirkan.

“Kami tidak boleh merasa selesa. Keputusan ini bagus tetapi kami tidak boleh berpuas hati. Persaingan masih terbuka.”

Valverde sedar kekalahan kepada Roma tahun lalu masih menghantui pemain-pemainnya. Barca menangi 4-1 di Camp Nou tetapi kemudian tewas 3-0 pada aksi timbal balik di Rome.

Liverpool jauh lebih kuat jika dibandingkan dengan Roma. Mereka meledak tiga atau lebih gol sebanyak 19 kali musim ini, menentang lawan seperti Paris Saint-Germain, Manchester United, Arsenal dan Porto.

Namun skuad kenali Valverde tampil lebih konsisten tahun ini, merakam 14 kemenangan daripada 17 perlawanan sejak Februari, dan hanya tewas sekali akibat merehatkan pemain-pemain utama.




Kali ini Valverde cuba sebaik mungkin untuk merehatkan tonggaknya. Ketika menentang Celta Sabtu lalu, Valverde merehatkan kesemua 11 pemain yang memulakan perlawanan pada aksi separuh akhir pertama menentang Liverpool.

“Kami mempunyai kelebihan kerana sudah mengesahkan kejuaraan (La Liga). Sudah tentu kami akan menggunakannya,” katanya.

Lionel Messi, yang meledak dua gol pada separuh akhir pertama sedar cabaran sukar menanti di Anfield.

“Ia keputusan yang baik tetapi kami akan bertandang ke stadium yang cukup sukar, yang mempunyai banyak sejarah, dan ia meletakkan anda di bawah tekanan cukup tinggi. Kami sedar ia belum berakhir,” kata Messi.