Suarez tak mahu raikan gol di Anfield

LONDON: Luis Suarez berjanji tidak akan meraikan gol di Anfield dengan gaya yang sama dilakukannya ketika di Barcelona andainya dia sekali lagi menjaringkan gol pada pertembungan separuh akhir kedua Liga Juara-Juara, pagi esok. (jam 3 pagi waktu Malaysia)

Ikrar pemain Uruguay itu hadir sebagai tanda menghormati penyokong Liverpool yang pernah menjulangnya selama tiga musim ketika dia bersama The Reds sebelum dijual kepada Barcelona.



Dia dicemuh segelintir penyokong Liverpool ketika aksi pertama separuh akhir yang berakhir dengan kemenangan 3-0 Barcelona di Nou Camp, minggu lalu.

Watak Suarez mengancam kubu lawan jelas tiada perbezaan dan sikap itu sedikit sebanyak masih digemari sebahagian besar penyokong Liverpool.

Dia juga banyak kali diajukan pertanyaan mengenai hubungannya dengan Liverpool dan penyokong The Kop dan Suarez yakin dia bakal menerima tepukan gemuruh penyokong berbanding cemuhan apabila kembali tampil di Anfield pagi nanti.

‘Raikan gol minggu lepas? Peminat yang tahu bola sepak, yang cinta sukan ini, mereka akan faham kepentingan gol seperti ini,” kata Suarez, yang menjaringkan gol pembukaan ketika membantu kemenangan 3-0 Barcelona minggu lalu.

“Saya sentiasa menghormati penyokong Liverpool. Saya menjaringkan gol dan meraikannya dengan peminat saya.

“Saya mohon maaf (jika ada yang terasa) tapi saya yakin penyokong Liverpool akan memberi tepukan kepada saya. Saya amat hargai sokongan peminat Liverpool begitu juga kelab dan jika saya menjaringkan gol, saya tidak akan meraikannya sama seperti saya lakukan ketika di Belanda apabila saya menjaringkan gol (membantu Ajax berdepan Groningen).

“Saya amat berterima kasih dengan penyokong Liverpool. Saya bersama mereka selama tiga setengah tahun dan saya rasa mereka sudah lama tidak berada dalam Liga Juara-Juara.




“Tahun lalu saya ada ke sini, untuk tugasan Liga Juara-Juara. Saya rasa orang ramai tahu tugas yang saya sudah lakukan. Saya berterima kasih dengan Liverpool.

“Saya juga terfikir akan ada peminat yang sedia menghulurkan buah tangan kepada anak saya, inilah keistimewaan dan kehangatan sambutan penyokong Liverpool untuk saya.

“Anak saya (Benji) lahir di sini dan stadium ini adalah gelanggang pertama dia memasukinya.

Suarez menyebabkan kantung Liverpool susut £23 juta (RM124 juta) ketika dibeli dari Ajax pada Januari 2011 dan kemudian Liverpool mengaut laba apabila dia dijual pada tanda harga £75 juta (RM405 juta) kepda Barcelona sejurus memenangi Anugerah Pemain Terbaik PFA.

“Kelab ini banyak membantu kemajuan kerjaya saya, ia membantu saya lebih cekap dalam teknikal,” kata Suarez.

“Sejak pindah dari Ajax, saya banyak meningkat dan dengan kehadiran pemain hebat di sini membolehkan saya menjadi pemain lebih baik.

“Detik paling membanggakan saya di sini ialah ketika menjadi kapten Liverpool (menang 5-0 ke atas Tottenham di White Hart Lane pada Disember 2013), ia adalah kenangan paling hebat sepanjang karier saya,” kata Suarez. – Agensi