[VIDEO] Rembatan jarak jauh Kompany bantu Man City benam Leicester

Pressure was unrelenting and it finally told when Kompany produced a thunderbolt to send the Etihad Stadium into raptures

MANCHESTER: Kapten Manchester City, Vincent Kompany tidak menghiraukan arahan yang memintanya jangan merembat dari jarak jauh ketika dia akhirnya menyaksikan cubaan dari luar petak penalti itu menghasilkan gol kemenangan ketika menewaskan Leicester City 1-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris pagi tadi.



Kemenangan itu membolehkan City memintas Liverpool satu mata di depan dengan mengumpul 95 mata berbaki satu perlawanan menentang Brighton di tempat lawan hujung minggu ini.

Dalam saingan di Stadium Etihad pagi tadi, City kelihatan bergelut mencari gol hinggalah Kompany merembat kencang dari jarak 22 meter pada minit ke-70 sekali gus mencetak gol pertama dan melunaskan ikrarnya untuk menjaringkan gol jarak jauh ‘satu hari nanti’ yang juga gol pertamanya dari luar petak penalti musim ini.

“Hari ini agak mengecewakan, setiap orang menjerit ‘jangan rembat, jangan rembat’ dan saya mendengarnya, saya terfikir seketika, tidak pernah setakat ini dalam karier saya pemain muda memberitahu jika saya boleh melakukan rembatan tapi saya tetap mencuba!”

“Sudah 15 tahun saya beraksi di peringkat tertinggi, pemain tengah memberitahu saya ‘jangan rembat, umpan semula bola itu’ dan setiap kali mereka terlepas, saya janji satu hari nanti saya akan melakukan rembatan dari luar kotak penalti dan saya akan menjaringkan gol yang pasti akan menggembirakan anda.”

Pemain Belgium itu kali terakhir meledak dari luar kotak penalti pada 2007.




“Saya menjaringkan banyak gol seperti itu ketika dalam latihan!”

“Saya tidak menjaringkan gol musim ini tapi saya sering kali berasakan saat genting yang mana saya akan melakukan sesuatu,” kata Kompany kepada wartawan.

Pengurus City, Pep Guardiola turut mengakui beliau juga antara yang tidak mahu Kompany melakukan percubaan dari jarak jauh.

“Jangan rembat! Umpan bola itu, hantar semula bola itu!,” kata Guardiola apabila ditanya mengenai pendapatnya ketika Kompany mahu melakukan percubaan itu.

“Secara jujur, saya juga kurang yakin tapi bola sepak memang gila. Pemain adalah artis, mereka memutuskan sesuatu dalam sedetik dan apa yang penting bukannya gol, tapi dia melakukan rembatan ketika percaya dia boleh menjaringkan gol.” – Agensi