Liverpool kejutkan Barcelona, Henderson dedah rahsia Reds

Divock Origi (right) celebrates with Xherdan Shaqiri (left) after scoring Liverpool's fourth to complete the comeback

LIVERPOOL: Liverpool melakar salah satu kebangkitan paling mengagumkan dalam sejarah Liga Juara-Juara apabila mengatasi defisit tiga gol dengan menewaskan Barcelona 4-0 di Anfield dan mara ke final buat dua musim berturut-turut menerusi agregat 4-3, awal pagi tadi.



Gol kemenangan Reds dijaringkan oleh penyerang Belgium Divock Origi dan pemain gantian Georginio Wijnaldum dengan masing-masing menyumbat dua gol.

Bukan saja berdepan tugasan menggunung untuk mara, tetapi Reds turut kehilangan dua senjata mereka di bahagian serangan pada aksi berkenaan iaitu Mohamed Salah dan Roberto Firmino susulan kecederaan.

Begitupun, Origi dan Wijnaldum membuktikan mereka layak dijulang sebagai wira ketika Barca mensia-siakan kelebihan tiga gol pada aksi pertama buat musim kedua berturut-turut selepas turut tersingkir kepada Roma di suku akhir, musim lalu.

“Sekali lagi kami menunjukkan yang tiada apa yang mustahil dalam bola sepak,” kata Wijnaldum. “Saya amat marah kepada pengurus kerana meletakkan saya di bangku simpanan tetapi saya perlu melakukan sesuatu untuk membantu pasukan apabila saya dimasukkan.

“Kami masih mempercayainya sejak daripada awal. Orang dari luar (kelab) berfikir ia mustahil tetapi kami masih berupaya melakukannya.”

Tanpa kelibat Salah dan Firmino, skuad kendalian Jurgen Klopp membuktikan mereka masih belum hilang kepercayaan dan dibantu dengan suasana menakjubkan di Anfield.




Ironinya, Origi mungkin tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama jika Salah dan Firmino cergas.

Dan dia meneruskan tugasnya meledak gol penting buat Liverpool dalam usaha kelab itu apabila meledak jaringan pertamanya di Liga Juara-Juara seawal minit ketujuh selepas penjaga gol Barca, Marc-Andre ter Stegen gagal menangkap kemas cubaan kapten Jordan Henderson.

Sementara itu Jordan Henderson mendedahkan semangat berpasukan ‘istimewa’ Liverpool sebagai kunci kejayaan menakjubkan Reds menyingkirkan Barcelona di pentas separuh akhir Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

“Sukar dipercayai! Saya tidak fikir ramai memberikan kami peluang. Kami tahu ia sukar tetapi ia tidak mustahil,” kata Henderson.

“Keyakinan yang kami ada di bilik persalinan menakjubkan. Kami tahu kami boleh melakukan sesuatu yang istimewa di Anfield. Lihat kepada peminat dan pemain, ini adalah malam yang istimewa.

“Kami mahu memulakannya dengan pantas. Kami memperoleh gol awal dan ia membantu. Ia bukan saja satu jaringan, ia memberikan mereka tekanan. Kami tahu jika kamu menunjukkan personaliti dan juga semangat, kami akan berpeluang.”