Spurs dicabar lakar sejarah kelab

Image result for Mauricio Pochettino

LONDON – Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino mencabar anak-anak buahnya supaya melakar sejarah baharu kelab dengan melayakkan diri ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara menjelang aksi timbal balik separuh akhir menentang Ajax di Johan Cruyff Arena awal pagi esok.



Meskipun ke­tinggalan 0-1 secara agregat, namun pengendali dari Argentina itu percaya skuad kendaliannya masih mampu untuk melayakkan diri ke pentas final biarpun turun ber­aksi di gelanggang lawan.

Selepas tewas 0-1 kepada Bournemouth pada aksi Liga Perdana England (EPL) Sabtu lalu, Spurs kini berada pada fasa paling penting musim ini apabila berdepan Ajax selain perlu memastikan tempat dalam kelompok empat pasukan teratas Liga Perdana.

“Kami akan berdepan dua perlawanan yang boleh diibaratkan seperti aksi final, iaitu menentang Ajax dan Everton. Semuanya terserah kepada kami untuk menamatkan saingan musim ini tetapi saya mahu ia berakhir de­ngan sesuatu yang indah,” kata ­Pochettino.




Walaupun masih belum menjulang sebarang trofi sejak bergelar pengurus, namun bekas pengendali Sout­hampton itu masih mampu berbangga apabila berjaya mengemudi Spurs sehingga ke separuh akhir Liga Juara-Juara biarpun berdepan ba­nyak kekangan.

“Pada awalnya, tidak ada sesiapa yang percaya kami mampu berada pada tahap ini. Sekarang misi kami adalah untuk pastikan Spurs mara ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara serta tempatkan diri dalam kelompok empat pasukan teratas liga.

“Satu minggu yang cukup ‘gila’ untuk kami. Jadi, kami perlu bersedia sepenuhnya. Saya harap pemain-pemain sempat cergas sepenuhnya sebelum aksi menentang Everton, namun walau apa yang berlaku, saya tetap bangga dengan pencapaian musim ini,” ujarnya. – Agensi