[VIDEO] ACL: Gol Syafiq Ahmad benam Kashima Antlers

Bukan malam yang indah buat juara bertahan Liga Juara-Juara AFC (ACL), Kashima Antlers di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin. Gol tunggal yang dijaringkan oleh Syafiq Ahmad pada minit ke-69 menumbangkan Kashima Antlers seterusnya memberikan Johor Darul Ta’zim (JDT) tiga mata pertama dalam saingan elit asia, musim ini.



Permainan bermula dengan kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan untuk mendapatkan jaringan pendahuluan. Namun JDT dilihat lebih banyak memberikan peluang kepada anak buah Go Oiwa untuk melakukan percubaan tepat ke arah gawang mereka.

Paling mencemaskan pada minit ke-26 di mana Izham Tarmizi yang keluar sedikit daripada kotak penaltinya hampir-hampir memberikan gol awal kepada Kashima Antlers. JDT dapat menarik nafas lega apabila peluang tersebut tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh pasukan lawan.

Tidak lama kemudian, JDT berjaya melancarkan satu serangan balas. Bermula daripada larian Gonzalo Cabrera daripada kotak penalti sendiri, menewaskan beberapa pemain Kashima Antlers sebelum melebarkan ke sayap kiri untuk Corbin-Ong. Sayangnya, lorongan bola Corbin-Ong dapat diselamatkan oleh pertahanan lawan.




Darul Ta’zim-Kashima Antlers 3- ACL 2019

Memasuki minit ke-40 permainan, kedua-dua pasukan banyak bertumpu di kawasan tengah. Tidak banyak larian yang berjaya melepasi barisan pertahanan masing-masing dan kedudukan kekal seri tanpa jaringan apabila wisel penamat separuh masa pertama ditiup pengadil perlawanan.

Bersambung babak kedua, satu hantaran lintang berjaya menemui penyerang tengah, Sho Ito tetapi Izham Tarmizi lebih bersedia untuk menyelamatkan bola tersebut di atas garisan gol pada minit ke-49.

Dua puluh minit kemudian, satu lorongan cantik daripada Nazmi Faiz berjaya mencari Syafiq Ahmad. Penyerang yang menyarung jeris No.28 pantas menggelecek beberapa pertahanan di dalam kotak penalti Kashima Antlers sebelum melepaskan satu ‘curl shot’ menewaskan Kwoun Suntae untuk memberikan gol pendahuluan kepada JDT.

Juara bertahan, Kashima Antlera cuba meningkatkan asakan untuk mencari gol penyamaan. Namun, anak buah Benjamin Mora gigih mempertahankan kelebihan satu gol mereka sehingga tamat masa permainan. Gol tunggal tersebut sudah memadai untuk memberikan kemenangan sulung dalam saingan ACL 2019.