Faris Ramli mampu ubah nasib Perak?

Image result for Faris Ramli

Seorang demi seorang pemain Singapura kembali membanjiri Liga Super Malaysia selepas kali terakhir menakluk Liga Super Malaysia pada tahun 2013.



Bezanya kali ini mereka tidak datang sebagai satu pasukan, tetapi memperkuat pasukan yang ada di Liga Malaysia. Selepas penyerang Singapura, Khairul Amri menyertai Felda United, seorang lagi pemain jiran seberang tambak kita dikhabarkan sedang menarik minat pasukan Perak.

Faris Ramli, seorang pemain sayap lincah yang juga mempunyai pengalaman beraksi di Liga Malaysia. Selain daripada menjadi sebahagian daripada skuad Lions XII, pemain berusia 26 tahun ini juga beaksi untuk PKNS pada musim lalu.

Dia sepatutnya beraksi untuk pasukan Perlis Northern Lions di Liga Premier pada musim ini, tetapi masalah yang melanda pasukan itu membuatkan dia kembali ke kota singa dan menyertai Hougang United. Sukar untuk melihat Faris berada lama di Liga Singapura kerana dia akan sentiasa menarik minat pasukan di Malaysia terutamanya Liga Super menerusi kelincahannya.




Tetapi adakah Faris Ramli adalah jawapan kepada masalah Perak yang kini diberikan jolokan ‘Pakar Seri’?

Perak seperti diketahui sudah mempunyai pemain sayap seperti Firdaus Saiyadi dan J. Partiban, tetapi dengan kehadiran Faris Ramli, mungkin ini akan dapat memberi saingan kepada Shahrel Fikri di sebelah kanan atau menolak Shahrel ke posisi asalnya sebagai penyerang bagi membantu Gilmar.

Faris juga seorang pemain yang versatil. Dia boleh mengisi posisi di sebelah sayap kanan dan juga kiri. Selain itu, pemain Hougang United ini boleh beraksi di belakang penyerang di mana dia mungkin boleh membantu Wander Luiz di bahagian itu. Kebolehannya beraksi di banyak posisi ini akan banyak membantu pasukan Perak jika mereka berjaya mendapatkannya.

Bekas pemain Home United ini telah mengecewakan impian Malaysia untuk tidak perlu beraksi di pusingan kelayakan Piala Dunia apabila menjaringkan gol kemenangan Singapura ke atas Harimau Malaya dalam saingan Piala Airmarine di Stadium Nasional Bukit Jalil yang lalu. Ketika itu Faris menunjukkan ketenangannya di depan gawang Malaysia dan ini boleh digunakan sebaiknya untuk Perak.

Jadi, adakah Perak akan dapat membawa Faris Ramli ke Ipoh? Perak yang masih belum mengisi slot pemain Asia Tenggara mereka sememangnya menjadi pilihan utama untuk mendapatkan Faris. Setakat ini hala tuju pemain ini nampak menuju ke Ipoh dan tiada pasukan lain yang menunjukkan minat kepadanya. Faris Ramli mungkin akan menjadi ‘game changer’ kepada pasukan Perak, dan mungkin juga tidak. Semuanya akan bergantung kepada apa perancangan ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic. – foxsport