PKNS jadikan kebangkitan Liverpool dan Spurs sebagai motivasi jumpa Kedah

Di sebalik bertandang ke Stadium Darul Aman untuk aksi timbal balik suku akhir Piala FA 2019 pada Jumaat dengan ketinggalan dua gol kepada Kedah, PKNS FC belum mahu mengibar bendera putih.



PKNS FC tewas 1-3 kepada Kedah dalam aksi pertama di Stadium Shah Alam pada 30 April lalu, meletakkan mereka dalam situasi sukar untuk mengulangi pencapaian mara ke separuh akhir musim lalu apatah lagi untuk aksi ini mereka bakal turun tanpa beberapa tonggak pertahanan antaranya Tamirlan Kozurbaev yang menjalani penggantungan serta Nicholas Ryan Swirad dan Ariff Farhan Md Isa (kecederaan).

Begitupun pemain pertahanan berpengalaman, Shahrom Kalam berpendapat tidak mustahil PKNS FC boleh melakar kejutan dan menterbalikkan keputusan memihak kepada mereka dengan menjadikan kebangkitan sensasi dua pasukan inggeris Liverpool dan Tottenham Hotspur dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah sebagai inspirasi.

“Kedua-dua pasukan itu (Liverpool dan Spurs) bangkit selepas ketinggalan tiga gol, jadi tiada sebab untuk kami berputus asa. Kami semua perlu mengambil iktibar dari semangat yang ditunjukkan mereka, saya percaya kami masih ada harapan dapatkan keputusan di luar jangkaan di Kedah kerana selepas keputusan tempoh hari, tiada siapa meletakkan harapan kepada kami, semua mata tertumpu kepada Kedah apatah lagi mereka adalah pasukan pilihan. Ia situasi yang baik kepada pemain-pemain kerana akan turun tanpa sebarang tekanan,” kata Shahrom.

Pemain tengah bertahan, Akram Mahinan turut senada dengan Shahrom.

“Kami tidak boleh hilang keyakinan diri, kena kuatkan rasa percaya dalam diri sendiri yang kami boleh lakar tiga jaringan di tempat lawan dan masa masih ada 90 minit, perjuangan belum berakhir, memang sukar tapi tidak mustahil. Kita telah belajar sesuatu dari Liverpool dan Spurs dan ia memberikan kami semua satu motivasi,” kata Akram.




Sebagai rekod, Liverpool yang tewas 0-3 dalam aksi separuh akhir pertama kepada Barcelona di Camp Nou dan tidak diletakkan harapan untuk bangkit, menterjemahkan kebangkitan menakjubkan dalam malam Eropah gemilang di Anfield apabila melakar kemenangan 4-0 dan mara ke final dengan agregat 4-3.

Manakala Spurs yang ketinggalan 0-3 secara aggregat pada satu ketika, menjaringkan tiga gol di separuh masa kedua dalam aksi timbal balik untuk mencatat keputusan seri 3-3 dan mara ke final menerusi peraturan gol tempat lawan.