[VIDEO] Hatrik Aubameyang bawa Arsenal ke final

PEMAIN Arsenal meraikan kejayaan melangkah ke final Liga Europa

VALENCIA 10 Mei – Hatrik Pierre-Emerick Aubameyang memastikan Arsenal menewaskan Valencia 4-2 dalam separuh akhir kedua Liga Europa penuh emosi, yang turut menyaksikan penyerang Gabon itu diludah penyokong tuan rumah, hari ini.



Arsenal mara ke final secara agregat 7-3, sekali gus menyalakan peluang memburu tiket Liga Juara-Juara musim depan selepas harapan untuk menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik Liga Perdana tampak tipis.

Selepas menang 3-1 dalam separuh akhir pertama di London minggu lalu, anak-anak buah Unai Emery turun ke Stadium Mestalla bersama misi, elak kekalahan 0-2 atau lebih besar daripada itu.

Valencia tidak memberi laluan mudah buat Gunners apabila terlebih dulu membuka jaringan menerusi Kevin Gameiro pada minit ke-11.

Bagaimanapun, Arsenal tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan selepas Aubameyang melepaskan rembatan cantik dari jarak 18 ela untuk menyamakan kedudukan 1-1.

Memasuki babak kedua, Arsenal menunjukkan kesungguhan untuk menambah gol, dan Alexandre Lacazette menghadiahkan jaringan yang dicari pada minit ke-50, sekali gus meletakkan pelawat mendahului 2-1.

Perlawanan menjadi semakin menarik apabila Valencia menyamakan kedudukan 2-2, lapan minit berselang selepas Gameiro menyudahkan hantaran ketua pasukan, Dani Parejo.




Bagaimanapun usaha Valencia untuk melakukan kebangkitan musnah apabila Aubameyang meledak gol ketiga Arsenal pada minit ke-69 dan melengkapkan hatrik, dua minit sebelum tamat permainan.

Kekalahan Valencia itu bermakna berakhir sudah penguasaan Sepanyol di pentas Eropah, sebaliknya England menjadi kuasa baharu selepas Chelsea turut melangkah ke perlawanan akhir.

Kelmarin, Liverpool menyingkirkan juara La Liga, Barcelona untuk menempah pertemuan akhir Liga Juara-Juara dengan Tottenham. – AGENSI