Tewaskan TFC 4-0, Dollah anggap itu sekadar persembahan ‘biasa’ sahaja

“Luar biasa? Itu (persembahan) biasa sahaja sebenarnya,” kata Dollah Salleh sambil berseloroh.

Berjaya menewaskan Terengganu FC dengan keputusan 4-0 dalam perlawanan timbal balik peringkat suku akhir Piala FA di Kuantan, semalam, ketua jurulatih skuad Tok Gajah, Dollah Salleh anggap pasukannya kembali menemui sentuhan sepertimana mana awal musim dahulu.



Dalam perlawanan tersebut, Faisal Halim, Dickson Nwakaeme dan Mohamadou Sumareh mencatat nama selaku penjaring perlawanan disaksikan 13,070 penyokong di Stadium Darul Makmur seterusnya mengesahkan tempat ke saingan separuh akhir Piala FA selepas menang dengan agregat 5-2.

Malah, kembalinya penyerang prolifik mereka, Dickson Nwakaeme dan pemain tengah, Safwan Baharuddin nyata memberikan kekuatan tambahan kepada skuad Tok Gajah untuk mengatasi kelebihan dua jaringan yang dibawa Terengganu FC hasil kemenangan 2-1 pada aksi pertama, minggu lalu.

“Kita mendapat kembali sentuhan sepertimana kita beraksi daripada awal musim dulu, tetapi penghujungnya nampak kita agak tidak menjadi.

“Kita dapat bangkit semula dengan kemenangan selepas kita ketinggalan 2-1. Alhamdulillah, saya tengok apa yang telah berlaku pada malam ini, kesemua pemain bekerjasama, berdisiplin di atas padang dan dapat mencipta ruang.

“Kembalinya Dickson (Nwakaeme) dan Safwan (Baharudin) ke dalam pasukan menjadi tonik kepada pasukan.




“Gol awal menjadi ‘turning point’ kepada kita untuk jaringkan lebih banyak gol. Kita tiada niat untuk bertahan, kita kekal dengan corak permainan kita sehingga tamat permainan.” kata Dollah Salleh dalam sidang media selepas perlawanan.

Selain daripada kesebelasan utama yang diturunkan oleh Dollah Salleh, beliau juga amat berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan oleh pemain gantian seperti Saddil Ramdani dan Wan Zaharulnizam atau lebih dikenali sebagai Kecik.

Malah Dollah Salleh turut berkongsi kenyakinan bahawa anak buahnya mampu mencatatkan kemenangan di Kuantan sebelum sepak mula lagi. Yang menjadi kerisauannya adalah jika TFC dapat menjaringkan gol di tempat lawan. Bagaimanapun, beliau menarik nafas lega melihatkan TFC gagal menyaingi corak permainan Pahang sekaligus gagal menjaringkan sebarang gol.

“Apa yang berlaku di Kuala Terengganu, walaupun tewas saya percaya kita mampu mencipta kemenangan di Pahang. Cuma keputusan dan jaringan sahaja yang saya khuatirkan.” tambah Dollah lagi.