Jangan sampai tersingkir ke Liga Perdana

KUALA LUMPUR 13 Mei – Selepas tersingkir daripada Piala FA, Kuala Lumpur kini perlu memberi sepenuh tumpuan kepada persaingan Liga Super dengan misi utama adalah keluar dari kedudukan tercorot.



Anak-anak buah Chong Yee Fatt mencatat agregat 3-3 ketika menentang Felda United pada aksi suku akhir, namun gagal meneruskan kemaraan menerusi peraturan gol di tempat lawan.

“Sekarang kita sudah memasuki pusingan kedua Liga Super dan kedudukan Kuala Lumpur jauh ketinggalan. Pemain perlu berusaha lebih keras untuk memperbaiki permainan.

“Memang betul, apabila sudah tersingkir daripada Piala FA kami boleh fokus sepenuhnya kepada Liga Super, namun tidak dinafikan kami juga kecewa dengan kegagalan mara ke separuh akhir,” katanya kepada Utusan Online hari ini.




Skuad The City Boys gagal mencatat kemenangan dalam lima perlawanan terakhir (semua pertandingan), dan bertambah malang mereka akan menerima kunjungan PKNS FC di Stadium Kuala Lumpur, Cgeras tanpa pertahanan import, Luke Woodland.

“Luke berdepan masalah hamstring tetapi pemain yang lain boleh beraksi.

“Kami juga tidak mempunyai isu penggantungan pemain dan saya juga tidak akan melakukan banyak perubahan, meskipun kami baru menamatkan saingan dalam Piala FA,” katanya.

Selepas mengharungi 12 perlawanan, Kuala Lumpur kini menghuni tangga tercorot dengan hanya mengutip lapan mata, tiga mata di belakang pasukan tangga ketiga tercorot, PKNP FC. – UTUSAN